KUALA LUMPUR: Juara lima kali, Thailand menjuarai Kumpulan A kejohanan Piala AFF 2020 selepas menewaskan tuan rumah Singapura 2-0 dalam pertarungan merebut tempat teratas kumpulan itu di Stadium Nasional Singapura, malam tadi.

Pasukan Gajah Perang mendahului perlawanan menerusi gol pemain kelahiran Sweden Yusef Elias Dolah yang menolak masuk bola sepakan percuma Bordin Phala yang muntah selepas ditepis penjaga gawang tuan rumah Hassan Sunny pada minit ke-31.

Thailand pasukan paling cemerlang dalam kejohanan ini, menggandakan jaringan pada masa kecederaan babak pertama (45+2) menerusi Supachai Chaided.

Walaupun kedua-dua pasukan sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir, mereka meneruskan permainan menyerang dalam babak kedua dalam memburu tempat teratas kerana juara kumpulan akan bertemu naib juara Kumpulan B dalam separuh akhir.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat, mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus Thailand selepas mengalahkan Timor Leste 2-0, Myanmar 4-0 dan Filipina 2-1 sementara Singapura mengalami kekalahan pertama dalam kempen ini selepas menewaskan Myanmar 3-0, Filipina 2-1 dan Timor Leste 2-0.

Sementara itu, hatrik Bienvenido Maranon pada separuh masa pertama membantu Filipina mengatasi Myanmar 3-2 untuk menduduki tangga ketiga kumpulan.

Penyerang veteran berusia 35 tahun menjaringkan gol pada minit ke-16, ke-19 dan ke-45 untuk melengkapkan hatriknya yang menyumbang kemenangan kedua "The Azkals".

Myanmar cuba untuk bangkit kembali menerusi dua gol Htet Phyo Wai pada minit ke-74 dan ke-86 untuk mengurangkan jurang.

Thailand menduduki tangga teratas Kumpulan A dengan 12 mata, diikuti Singapura (sembilan mata), Filipina (enam mata), Myanmar (tiga mata) dan Timor Leste tanpa sebarang mata.

Dalam perlawanan Kumpulan B hari ini, Malaysia akan menentang musuh ketat Indonesia dalam perlawanan yang mesti dimenangi di Stadium Nasional Singapura sementara juara bertahan Vietnam akan bertemu Kemboja di Stadium Bishan. Kedua-dua perlawanan dijadualkan bermula pada 8.30 malam.

-- BERNAMA