awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
MBSB IB jangka pertumbuhan ekonomi Malaysia 4.3 peratus pada 2026
Zelenskyy lantik ketua risikan tentera terajui pentadbiran Presiden dalam rombakan besar
Trump rancang ubah suai ‘padang golf Presiden’ walaupun belum pernah bermain di situ
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Saksi gambarkan suasana cemas selepas kebakaran maut di pusat peranginan Switzerland

Bernama
Bernama
02/01/2026
22:00 MYT
Saksi gambarkan suasana cemas selepas kebakaran maut di pusat peranginan Switzerland
Orang ramai berkumpul di luar bar “Le Constellation” yang dipasang garisan keselamatan selepas berlaku kebakaran dan letupan ketika sambutan malam Tahun Baharu, mengakibatkan beberapa mangsa terkorban dan cedera. - Gambar Reuters
BRUSSELS: Saksi-saksi menggambarkan suasana cemas dan kelam-kabut susulan kebakaran maut pada Ambang Tahun Baharu di sebuah bar yang penuh sesak di pusat peranginan ski Crans-Montana, dengan mendakwa hanya sebilangan kecil anggota polis berada di lokasi manakala pasukan penyelamat belum tiba pada minit-minit awal yang kritikal, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Saya rasa hanya ada satu atau dua kereta polis pada waktu itu, jadi pasukan penyelamat belum sampai sehingga segalanya berakhir," kata Dominic Dubois, yang tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 1 pagi hingga 1.20 pagi waktu tempatan (0000-0020 GMT).
Memandangkan pasukan kecemasan mengalami kelewatan, penduduk setempat, pengusaha restoran dan orang awam segera tampil menghulurkan bantuan.
"Semua orang melakukan apa sahaja yang termampu. Penduduk di kediaman berhampiran, restoran, dan sesiapa sahaja yang masih belum tidur membantu memberikan air, teh serta selimut," katanya kepada Anadolu.
"Ia adalah satu kejutan besar. Mereka (mangsa) keluar dari premis dan tiba-tiba berdepan dengan suhu yang membeku," katanya sambil menekankan bahawa menguruskan perbezaan suhu yang melampau merupakan antara cabaran utama.
Dubois berkata, mangsa terakhir berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 5.30 pagi waktu tempatan (0430 GMT).
Seorang penduduk tempatan, Eva, yang telah menetap di kawasan itu selama 30 tahun menyifatkan tragedi itu sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Ia nampaknya satu tragedi yang amat besar. Sepanjang ingatan saya, inilah kali pertama saya melihat kejadian seumpama ini," katanya.
"Ini adalah satu tragedi kerana saya membayangkan majoriti mangsa yang terkesan adalah golongan muda yang datang bercuti di pergunungan ini. Ia benar-benar menyedihkan," katanya.
Terdahulu pada Khamis, polis Switzerland memaklumkan, kira-kira 40 orang terbunuh dan kira-kira 115 lagi cedera dalam kebakaran di sebuah bar semasa sambutan Ambang Tahun Baharu, dengan kebanyakan mangsa mengalami kecederaan parah.
Pihak berkuasa menyatakan siasatan jenayah berhubung insiden itu masih dijalankan. Menurut pendakwa raya, beberapa hipotesis sedang diteliti dengan teori utama buat masa ini menjurus kepada "kebakaran besar yang menyebabkan letupan."
Proses mengenal pasti mangsa masih diteruskan dan memandangkan pusat peranginan itu bersifat antarabangsa, pegawai berkata warga asing berkemungkinan besar berada dalam senarai mangsa yang maut dan cedera.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Switzerland
#pusat peranginan terbakar
#Crans-Montana
#bar terbakar
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan