KUALA LUMPUR: Harimau Malaya meniti laluan berliku untuk merawat luka kekalahan kepada Jordan 0-4 pada aksi pembukaan Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 Isnin lepas, apabila terpaksa berdepan dengan Bahrain dalam perlawanan kedua di Stadium Jassim Bin Hammad, esok.

Pemerhati bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli berkata berdasarkan pengamatannya, Bahrain dilihat mempunyai sedikit kelebihan berbanding Malaysia, lebih-lebih lagi selepas lawan mempamerkan persembahan memberangsangkan biarpun tumpas 1-3 kepada Korea Selatan, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E, Isnin lepas.

"Walaupun tewas, namun pemain Bahrain sememangnya dapat mengimbangi cara Korea Selatan bermain tempoh hari, jadi ini yang merisaukan saya. Sekiranya kita bermain seperti lawan Jordan, maka saya nampak sukar untuk kita atasi Bahrain.

"Pasukan negara kena fikirkan sesuatu dengan memantapkan barisan pemain dan turunkan kesebelasan terbaik kita berdepan Bahrain. Biarpun rekod pertemuan tidak memihak kepada kita dan Bahrain ada kelebihan, namun dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku, harap ada keajaiban dilakukan pemain kita," katanya kepada Bernama.

Mengikut rekod perlawanan, Malaysia tewas kepada Bahrain dalam tiga perlawanan terakhir sejak 2013 dengan pertemuan terakhir menyaksikan Bahrain menang 2-1 pada pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 2022.

Bahrain di bawah bimbingan Juan Antonio Pizzi merupakan pasukan ranking ke-86 dunia, sementara Malaysia di posisi 130.

Dalam pada itu, Pekan berharap pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon, mampu menerapkan semula formasi 4-3-3 sewaktu menentang Bahrain, yang diberi julukan skuad Dilmun's Warriors, berbanding corak permainan 3-4-3 digunakan ketika bertemu Jordan.

Katanya, rata-rata pemain sudah 'masak' dengan formasi 4-3-3 yang sering digunakan Pan Gon sebelum ini selain meletakkan dua tonggak, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Mohamad Faisal Abdul Halim di bahagian sayap sambil dibantu kelibat sama ada Darren Lok, Romel Morales atau Paulo Josue sebagai penyerang utama.

"Bagaimanapun, kesemuanya terserah kepada jurulatih kerana perubahan formasi ini bergantung kepada mereka dan mengambil kira strategi bakal digunakan pihak lawan," katanya.

Selepas aksi bertemu Bahrain, skuad kebangsaan akan menutup saingan kumpulan berdepan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan.

Ikuti berita dan info terkini mengenai Piala Asia 2023 di asiancup.bernama.com.

-- BERNAMA