PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin melihat sudut realistik pasukan negara untuk sekurang-kurangnya membawa pulang mata dari Piala Asia Doha, Qatar.

Menurutnya, skuad negara berpeluang untuk mencatatkan keputusan positif ketika menentang Jordan dan Bahrain dalam aksi Kumpulan E itu.

"Kalau untuk memperkatakan mengenai realistik sudah tentu untuk dapat mata. Mungkin ada seri atau menang dan mesti ada matalah. Kalau pulang kosong tu tak berapa baguslah.

"Impian kita juga mahu layak ke pusingan 16 terbaik. Katakanlah kita seri dengan Jordan dan menang dengan Bahrain, sekurangnya kita sudah dapat empat mata," katanya dalam rancangan Bola Itu Life di Astro Arena.

Skuad negara akan membuka tirai Piala Asia menentang pasukan di ranking ke-87 dunia, Jordan pada 15 Januari sebelum bertemu Bahrain (86) pada 20 Januari dan Korea Selatan (23) lima hari kemudian.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui kesukaran untuk skuad kendalian Kim Pan-gon menentang jaguh Asia, Korea Selatan namun tetap mengharapkan ada sesuatu yang dapat dipamerkan skuad negara.

"Korea Selatan dan Jepun kita kena ingat mereka berada di ranking yang jauh lebih bagus. Jepun di ranking 17 dunia dan Korea Selatan 23 dunia.

"Disebabkan mereka dalam Asia, ramai anggap mereka bertaraf Asia. Tetapi, mereka pernah menewaskan Jerman dan banyak pasukan hebat. Kualiti mereka dah berbeza.

"Kalau dengan Korea Selatan ini, kita dapat 'attack' dan bagi saingan kepada mereka pun dah cukup bagus.

"Kita kena berpijak di bumi nyata, kalau dapat beri saingan itu pun dah cukup cantik dan bagus," katanya.

Harimau Malaya ketika ini telah berada di Qatar dan akan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Syria pada 8 Januari sebelum mengharungi aksi Piala Asia. - Sinar Harian