SUKAN
Piala CAFA 2025: Hannah akur keputusan Harimau Malaya tarik diri

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bercakap kepada media pada Majlis Pembukaan Asia Pickleball Summit 2025 di One World Hotel hari ini. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menghormati keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menarik diri daripada menyertai Kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 29 Ogos hingga 8 Sept ini.
Ringkasan AI
- Hannah Yeoh hormati keputusan FAM menarik diri daripada CAFA 2025, dengan fokus persiapan skuad kebangsaan dan kekangan luar jendela FIFA menjadi faktor utama.
- CAFA pertikai penarikan diri Malaysia, kerana penyertaan telah disahkan awal dan jadual kekal sama, manakala Malaysia sepatutnya beraksi dalam Kumpulan B bersama Iran dan Tajikistan.
- Lee Zii Jia tarik diri daripada dua kejohanan badminton, namun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan dan Hannah beri ruang jika beliau perlukan bantuan sokongan mental daripada ISN atau MSN.
"Saya akur dan terima sebab-sebab yang telah diberikan oleh jurulatih serta pihak persatuan," katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pickleball Asia 2025 di sini hari ini.
Hannah dalam ucapannya memuji perkembangan pesat sukan pickleball di negara ini yang dilihat seiring dengan usaha menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia kekal aktif dan bersukan.
Sementara itu, FAM dalam kenyataan semalam memaklumkan keputusan menarik diri itu dibuat susulan perubahan tarikh perlawanan yang kini bermula di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sehingga memberikan cabaran dalam banyak aspek kepada skuad kebangsaan, memandangkan kelab-kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain mereka.
Selain itu, Ketua Jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski berkata penarikan diri itu adalah keputusan tepat untuk memberi fokus sepenuhnya kepada kem latihan menjelang aksi penting menentang Laos dan Nepal pada Oktober dan November.
Namun, CAFA dalam kenyataan semalam memaklumkan penyertaan Malaysia sebelum ini telah disahkan lebih awal dengan kesedaran penuh terhadap tarikh dan jadual kejohanan yang tidak pernah diubah sejak awal.
Malaysia, yang kini berada di ranking ke-125 dunia sepatutnya beraksi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah Tajikistan, juara bertahan Iran dan Afghanistan.
Kumpulan A pula menyaksikan Uzbekistan selaku tuan rumah bersama Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Oman.
Dalam perkembangan lain, Hannah berkata pemain badminton perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia masih belum menghubungi pihak kementerian atau Institut Sukan Negara (ISN) sekiranya beliau memerlukan sebarang bantuan termasuk sokongan mental dan rundingan pakar psikologi.
Namun, beliau mengesahkan pihak Zii Jia ada menghubungi Majlis Sukan Negara (MSN) sekadar untuk memaklumkan tiada apa yang perlu dirisaukan daripada paparan gambar lukisan yang berkemungkinan mempunyai unsur kemurungan di akaun Instagram milik pemain itu.
"Setakat ini, Zii Jia belum berbincang dengan saya mengenai apa-apa bantuan dan saya nak bagi ruang kepadanya. Kalau beliau perlukan apa-apa bantuan sokongan, memang beliau ada nombor telefon saya dan saya yakin beliau akan cari kitalah, jika beliau perlu," katanya.
Zii Jia menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 (15 hingga 20 Julai) dan Terbuka China 2025 (22 hingga 27 Julai), namun setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihaknya berhubung penarikan diri itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami