Piala Dunia T20: Bangladesh tegas tidak akan beraksi di India selepas ICC tolak permohonan

Bangladesh enggan beraksi di India berikutan kebimbangan mengenai keselamatan pemain.
NEW DELHI: Bangladesh pada Khamis kekal bertegas dengan keputusannya untuk tidak ke India bagi Piala Dunia T20, sehari selepas Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) menolak permohonannya untuk memindahkan perlawanan pasukan itu ke Sri Lanka.
"Tiada ruang untuk mengubah keputusan kami. Kami percaya kami tidak mendapat keadilan daripada ICC, namun kami masih berharap ICC akan mempertimbangkan semula keputusannya," kata Penasihat Belia dan Sukan kerajaan interim Bangladesh, Asif Nazrul, seperti dipetik oleh agensi berita Bangladesh Sangbad Sangstha.
Bangladesh enggan beraksi di India berikutan kebimbangan mengenai keselamatan pemain.
Asif sebelum ini berbincang dengan pemain kriket Bangladesh dan pegawai Lembaga Kriket Bangladesh (BCB) mengenai keputusan ICC yang tidak memindahkan perlawanan Bangladesh ke Sri Lanka, yang menjadi penganjur bersama kejohanan T20 itu dengan India dari 7 Feb hingga 8 Mac.
Beliau berkata, ICC tidak menangani isu keselamatan yang dibangkitkan oleh Bangladesh.
"ICC mendakwa situasi keselamatan di India cukup baik untuk menganjurkan kriket, tetapi apa yang kami lihat ialah keadaan masih tidak berubah. Kebimbangan keselamatan kami bukan timbul tanpa asas, sebaliknya berpunca daripada satu insiden sebenar," kata Asif.
Kemarahan tercetus di Bangladesh selepas pemain pasukan kebangsaan, Mustafizur Rahman, digugurkan daripada Liga Perdana India (IPL) atas arahan Lembaga Kawalan Kriket di India (BCCI).
"Seorang daripada pemain kami ditarik balik daripada bermain dalam IPL kerana penganjur tidak dapat memastikan keselamatan sewajarnya apabila berhadapan dengan tekanan daripada kumpulan pelampau," kata Asif.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


