Piala FA: Penyokong KL, Selangor disaran guna MRT ke Stadium Cheras

Astro Awani
Mac 21, 2018 20:18 MYT
Kemudahan LRT dan MRT yang disediakan oleh Rapid KL mampu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dan tidak perlu bersusah payah mencari parkir untuk ke Stadium Bola Sepak KL. sumber- Gambar Fail Rapid KL
Peminat pasukan bola sepak Selangor dan Kuala Lumpur disaran menggunakan perkhidmatan MRT dan LRT untuk menonton perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan itu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Rapid KL dalam satu kenyataan menasihati para penyokong Kuala Lumpur dan Selangor menggunakan perkhidmatan MRT Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) bagi menyaksikan pasukan kegemaran mereka bermain di stadium itu.
Walau dari manapun memulakan perjalanan, para peminat hanya perlu pergi ke stesen MRT SBK terdekat dan meneruskan perjalanan ke Stesen MRT Cochrane untuk mengambil bas perantara T400 (Cochrane – Bandar Tun Razak) dan terus ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Tambang untuk bas perantara adalah RM1 satu perjalanan.
“Bas perantara berkenaan mempunyai hentian khusus di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sekali gus menyediakan perjalanan selesa untuk para peminat tanpa perlu memandu dan mengharungi kesesakan lalu lintas serta kepayahan mencari tempat parkir kereta di stadium,” menurut Rapid KL.
BACA: Piala FA: JDT bertemu Tok Gajah di peringkat suku akhir
Bagi pengguna perkhidmatan LRT pula, peminat boleh turun di Stesen LRT Maluri yang berhubung dengan Stesen MRT Maluri kerana bas perantara itu turut mengambil penumpang di situ.
Peminat turut boleh menggunakan perkhidmatan parkir dan gerak (park and ride) yang disediakan di Stesen MRT dan Stesen LRT terpilih dan meneruskan perjalanan menaiki tren.
Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, dipilih sebagai venue tuan rumah pasukan Kuala Lumpur dan Selangor bagi cabaran musim tahun ini.
#City Boys #Kuala Lumpur #Liga Malaysia #Liga Super #LRT #MRT #perkhidmatan awam #Piala FA #Rapid KL #Red Giants #Selangor