Piala M'sia dipersembah kepada Sultan Perak Ahad ini

Bernama
November 7, 2018 04:44 MYT
Pasukan Perak menjulang Piala Malaysia 2018 meraikan kejayaan mengalahkan pasukan Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam, 27 Okt, 2018. --fotoBERNAMA/Fail
Piala Malaysia yang dimenangi Perak pada perlawanan akhir menentang Terengganu 27 Okt lepas akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Ahad ini, di Kuala Kangsar.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata piala itu yang kembali kepada Perak selepas 18 tahun akan dibawa ke Kuala Kangsar bersama barisan pemain sempena Larian Hari Keputeraan Sultan Perak ke-62 yang disambut Jumaat lepas.
"Sehubungan itu, kami menjemput rakyat Perak untuk bersama-sama datang ke program berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam program Radio Televisyen Perak di sini, hari ini.
BACA: Perak juara Piala Malaysia 2018
Ketika diminta mengulas mengenai desakan berterusan agar Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) Hasnul Zulkarnain Abd Munaim meletak jawatan, Ahmad Faizal berkata pihaknya akan mengendalikan isu berkenaan sebaik mungkin.
Sambil memahami emosi penyokong, Menteri Besar turut meminta mereka mengawal perasaan masing-masing demi memastikan pasukan Perak atau The Bos Gaurus dapat melakar lebih banyak kejayaan.
"Kita akan cari jalan dan kaedah terbaik untuk pastikan perkara ini diselesaikan dengan baik serta tidak memberi kesan kepada pasukan," katanya.
BACA: MB Perak percaya Presiden Pafa akan buat keputusan tepat
BACA: Presiden Pafa tidak berganjak walaupun didesak letak jawatan
Sebelum ini, Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, dikritik hebat oleh para penyokong bola sepak tempatan kerana memuat naik gambarnya bersama Piala Malaysia yang diletakkan di celah kangkang sehingga tular dan dijadikan bahan lawak dalam media sosial.
-- BERNAMA
#Ahmad Faizal Azumu #bola sepak #celah kangkang #Hari Keputeraan #Hasnul Zulkarnain Abd Munaim #Kuala Kangsar #letak jawatan #media sosial #PAFA #pemain #Perak #Piala Malaysia #presiden pafa #Sultan Nazrin Shah #Sultan Perak #Tular