SUKAN
Piala Negara-Negara FIH 2025: Impian Speedy Tigers ke separuh akhir lebur

Norsyafiq (tengah) diasak pemain pasukan Jepun Yamato Kawahara pada perlawanan peringkat Kumpulan B Kejohanan FIH Hoki Piala Negara-Negara 2024-25 di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 18 Jun 2025. --foto
KUALA LUMPUR: Harapan skuad hoki lelaki negara untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2025 terkubur meskipun mencatat kemenangan 2-1 ke atas Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Malaysia yang berkongsi empat mata dengan Pakistan memerlukan kemenangan dengan kelebihan sekurang-kurangnya dua jaringan untuk mengesahkan kemaraan, namun hampa apabila gol lewat permainan oleh Koji Yamasaki pada minit ke-55 menyekat impian tersebut.
Keputusan itu menyaksikan Pakistan muncul naib juara kumpulan berdasarkan kelebihan jaringan, mengiringi New Zealand yang melengkapkan kempen selaku juara kumpulan dengan sembilan mata.
Jepun pula menamatkan saingan tanpa sebarang mata di tangga tercorot.Dalam perlawanan itu, skuad bimbingan Sarjit Singh bermula garang apabila mendominasi separuh masa pertama sebelum berhasil meraih dua gol menerusi jaringan padang Norsyafiq Sumantri dan Muhajir Abdul Rauf masing-masing pada minit kelima dan ke-26.
Bagaimanapun, Jepun kembali mengatur rentak pada babak kedua dengan beberapa gerakan berbahaya, sebelum berjaya merobek gawang Malaysia sekali gus menggagalkan hasrat skuad negara.
Malaysia kini akan meneruskan cabaran dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan dan dijadual menentang Afrika Selatan pada Jumaat ini.
Mengulas aksi berkenaan, Sarjit mengakui kecewa dengan kegagalan anak buahnya memanfaatkan peluang yang dimiliki.
"Kita ada beberapa peluang jelas termasuk daripada Marhan dan Fitri tapi bola tetap tidak masuk. Nasib tidak menyebelahi kami hari ini.
"Namun, saya tetap bangga dengan aksi mereka. Kini kami perlu fokus untuk menamatkan kejohanan di tempat kelima. Itu penting bagi kami,"katanya.
Sementara itu, dalam saingan Kumpulan A, Perancis menamatkan aksi kumpulan sebagai pendahulu dengan tujuh mata selepas seri 2-2 menentang Wales. Korea Selatan pula menewaskan Afrika Selatan 1-0 untuk berada di tempat kedua.
Wales dan Afrika Selatan masing-masing menghuni tempat ketiga dan keempat kumpulan dengan dua dan satu mata.
Menurut format kejohanan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara ke separuh akhir manakala dua lagi pasukan akan beraksi dalam klasifikasi tempat kelima hingga kelapan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami