MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Ketua warden asrama sambung beri keterangan

Ketua warden asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha sambung beri keterangan pada inkues hari kesembilan.
KOTA KINABALU: Inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, memasuki hari kesembilan hari ini dengan menyambung keterangan ketua warden asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap.
Saksi kelapan inkues berkenaan dijangka menjawab beberapa soalan yang dikemukakan peguam mewakili ibu arwah selain peguam mewakili bapa arwah dan peguam mewakili tertuduh kanak-kanak.
Saksi kanak-kanak dijangka dipanggil bermula Jumaat ini untuk mengikuti prosiding yang dibuat secara tertutup dengan hanya pihak yang berkaitan dibenarkan hadir.
Secara keseluruhan, ada 60 saksi lagi akan dipanggil setelah lapan saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang 10 hari inkues sehingga hari ini.Dalam pada itu, Koroner Amir Shah Amir Hassan pada Rabu menyatakan mengenai satu lagi prosiding locus in quo atau lawatan ke lokasi kejadian akan dibuat selepas saksi kanak-kanak dipanggil.
Semalam, Azhari hanya sempat ditanya peguam ibu arwah, Shahlan Jufri mengenai beberapa perkara termasuk penemuan diari arwah di sekolahnya, tuduhan mencuri dan rutin pelajar asrama di bawah jagaannya.
Sebelum itu, Ketua Warden berumur 31 tahun itu turut menjawab mengenai isu telefon awam di asrama yang ditutup pada hari kejadian, iaitu selepas arwah Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama.
Perkara itu dibangkitkan Pegawai Pengendali, Mohd Fairuz Johari berikutan laporan sebelum ini menyatakan telefon awam di asrama sekolah terbabit ditutup dua hari bagi mengelak pelajar menghubungi ibu bapa.
Selain Ketua Warden, seorang Pegawai Perubatan Forensik dari Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Logaraj Ratha turut memberi keterangan sebagai saksi ketujuh semalam.
Dr Logaraj menerangkan proses penyerahan jenazah arwah yang bermula dengan penerangan kepada ibu arwah, Noraidah Lamat dan seorang lagi ahli keluarga arwah, Nur Shira Abdullah mengenai bedah siasat.
Doktor itu menyatakan ibu arwah tidak mahu bedah siasat dijalankan walaupun sudah dijelaskan mengenai kepentingan untuk melaksanakan prosedur itu kepada waris arwah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami