PETALING JAYA: Selepas dua tahun berturut-turut saingan Piala Presiden dan Piala Belia dibatalkan akibat pandemik COVID-19, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Mohd Firdaus Mohamed yakin kejohanan itu dapat dianjurkan pada awal tahun depan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM berkata, pihaknya bersetuju untuk mengadakan kejohanan pembangunan bagi pemain bawah-21 tahun (Presiden) dan bawah-19 tahun (Belia) itu pada pertengahan atau akhir Februari 2022.

"Kita sudah menghantar permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jadi kita harap kejohanan ini berjalan dengan lancar mengikut format asal dan tidak berlaku sebarang masalah.

"(Pemain muda) sudah dua tahun tak main dalam liga kompetitif, ia membantutkan usaha FAM dalam mencari bakat baharu. Insya-Allah, kita yakin dan percaya tahun depan dapat diadakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pramusim "Penalti Super League" (PSL) 2021 di sini, hari ini.

Mengikut format sebelum ini, kesemua pasukan bertanding (antara 20 hingga 22 pasukan) diundi dalam dua kumpulan dengan empat pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.

FAM telah menukar format untuk mengadakan pertandingan peringkat kumpulan mengikut zon bermula edisi 2020 bagi mengurangkan kos perjalanan, namun edisi 2020 dan 2021 bagi kedua-dua kejohanan itu terpaksa dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

Menurut Mohd Firdaus, pihaknya juga bakal mewujudkan kembali Piala FAM kepada pemain bawah-25 tahun mengikut format kalah mati selepas berakhir kempen Piala Belia dan Piala Presiden tahun depan.

"Mana-mana pasukan yang tidak berpeluang untuk main Liga M3 atas kekangan kewangan dan sebagainya, kita beri peluang main dalam kejohanan ini, sebab kita lihat sebelum ini Liga FAM melahirkan banyak pemain yang mewakili Malaysia," jelasnya.

Piala FAM yang pada awalnya diadakan secara kalah mati, ditukar ke format liga dengan dikenali sebagai Liga FAM bermula 2008 tetapi dijenamakan semula sebagai Liga M3 bermula 2019.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata beliau akan membawa cadangan untuk menjalinkan kerjasama dengan PSL pada mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan seterusnya, yang memberikan pendedahan terbaik buat pemain sebelum menggalas tanggungjawab cukup penting ketika perlawanan sebenar.

Pusingan awal PSL akan diadakan selama empat siri bermula hari ini, 21 dan 27 Nov serta 5 Dis, dengan setiap siri akan disertai 64 pasukan. Lapan pasukan terbaik setiap siri akan layak ke acara kemuncak, iaitu The Final pada 12 Dis untuk merebut hadiah wang tunai RM15,000 selaku juara.

Juara dan naib juara PSL kemudian akan menyertai "Penalti Champions League" menentang pemenang lain dari Liga Penalti Rakyat (LPR) Jelajah Malaysia dan Raja Penalti 2021/2022 yang menawarkan hadiah RM30,000 kepada juara.

-- BERNAMA