KUALA LUMPUR: Kerjasama dan sinergi di antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Project Road To Gold (RTG) perlu diteruskan dalam usaha memperbaiki prestasi skuad badminton negara.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, meskipun Malaysia gagal menempah tiket ke peringkat akhir Piala Sudirman yang berlangsung di Suzhou, China pada Sabtu, namun kerjasama di antara dua entiti itu amat penting.

"Semalam saya telah mengikuti Pertandingan Sudirman Cup Malaysia lawan Korea, mereka telah menampilkan atlet muda, bagi mereka peluang.

"Apa kita lihat skuad negara gabungan atlet BAM dan persendirian. Gabungan ini kita nak lihat apa bila mereka mewakili negara, mereka ada sinergi tersebut," jelasnya.

Justeru KBS ujarnya mengharapkan kerjasama itu dapat memberi manfaat kepada skuad negara kelak.

"Saya harap BAM dan project Road To Gold (RTG) akan teruskan kerjasama seperti ini untuk pastikan mereka ada sparing partner untuk bantu perbaiki prestasi mereka," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Titiwangsa di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, kemaraan Malaysia menempah tiket ke peringkat akhir Piala Sudirman buat kali pertama lebur, apabila tewas di tangan Korea Selatan 1-3 pada aksi separuh akhir kejohanan itu .