KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Sukan (PJS) telah mengeluarkan notis cadangan pembatalan badan sukan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada 15 Sept lepas.

Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof, berkata PSM mempunyai tempoh 14 hari bekerja atau sehingga Jumaat ini untuk mengemukakan surat rayuan terhadap cadangan pembatalan itu.

"Selepas mendapat surat rayuan, barulah kami akan semak dan mempertimbangkan status persatuan itu. Tetapi PSM masih aktif dan boleh melakukan aktiviti persatuan dalam tempoh rayuan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021, di sini, pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan mengapa notis itu dikeluarkan pada kali ini, walaupun kemelut PSM berlanjutan sejak tahun lepas.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pihaknya masih mencari jalan tengah bagi menyelesaikan kemelut arena sepak takraw negara melibatkan PSM dan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF).

"Saya sedang mengadakan libat urus perundingan dengan pihak PSM dan juga MASTAF, akhirnya apa yang Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahukan ialah sukan sepak takraw itu dapat dimartabatkan.

"Saya nak cari satu jalan yang mengharmonikan semua pemimpin sukan sepak takraw di semua peringkat supaya kita benar-benar dapat memperkasakan persatuan sukan itu," katanya.

Ahmad Faizal berkata KBS telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti rayuan-rayuan daripada persatuan sukan yang telah diberi notis pembatalan atau notis cadangan pembatalan agar dapat membuat keputusan yang tepat.

Kemelut sepak takraw negara bermula apabila Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menggugurkan keahlian PSM pada Mei 2021 susulan tindakan presidennya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Feb lepas.

Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Tok Mat kemudian melepaskan jawatannya dalam PSM pada Jun 2021, diikuti pelbagai usaha oleh PSM untuk mendapatkan semula keahlian dalam ASTAF.

Bagaimanapun, ASTAF mengesahkan badan itu tidak akan menerima PSM sebagai ahli gabungan.

Berikutan itu, PJS membenarkan penubuhan entiti baharu, Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC), yang kini dikenali sebagai MASTAF, untuk mendapat kepercayaan ASTAF dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) sebagai wakil Malaysia di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA