Simpati dengan penderitaan yang dialami rakan seperjuangan, beberapa pemain golf profesional negara turun padang bersama-sama penaja menganjurkan acara golf amal bagi membantu Shaaban Hussin.

Antara pemain-pemain golf yang terlibat dalam acara 'Golf for Shaaban Charity Game' itu ialah Ilyia Jamil, M.Sasidaran, S.Sivachandran, Sukree Othman dan Abel Tham.

Acara berkenaan telah berjaya mengumpul sejumlah RM103,000 hasil daripada acara lelongan barangan golf yang diadakan pada majlis makan malam dan yuran penyertaan, berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club, Bukit Kiara di sini, malam Ahad.

Selain itu, Shaaban turut menerima sumbangan berjumlah RM10,000 daripada pengedar kelengkapan golf, Srixon Sports Asia dan RM5,000 daripada Majlis Sukan Negeri Kedah.

Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) turut menyumbang sebuah kerusi roda bermotor dan sumbangan itu disampaikan oleh pengerusinya, Datuk Malek Noor.

Kesemua sumbangan disampaikan kepada ibu Shaaban, Noordiah Mat.

"Makcik amat terharu dengan sumbangan yang diberikan kepada Shaaban. Hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas jasa semua yang masih mengingati anak makcik," kata Noordiah, 60, kepada Bernama.

Menurut beliau, Shabaan kini masih lagi menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Shaaban, 36, yang menaiki motosikal berkuasa tinggi terbabas semasa cuba mengelak sebuah kereta yang berhenti di tepi Lebuhraya Guthrie pada 31 Mac lepas.

Akibat kemalangan itu, juara Kejohanan PGM Sime Darby Harvard 2016 itu cedera tangan kirinya dan kaki kirinya yang cedera teruk tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong.

"Kini dia (Shaaban) sudah hilang mata pencarian...dia sangat suka sukan golf ini. Dia semakin sihat, tangan kirinya masih belum sembuh sepenuhnya dan sebab itu masih kena rawat di HKL," kata Noordiah sambil air mata bergenang.

Noordiah turut berterima kasih kepada pihak Majlis Sukan Negara (MSN) kerana menyediakan penginapan bagi kemudahan beliau dan ahli keluarga yang lain di Kompleks MSN Jalan Raja Muda Musa.

Ketika kejadian, Shaaban dalam perjalanan dari rumahnya di Kota Damansara ke Glenmarie Golf & Country Club di Shah Alam bagi menjalani latihan untuk menyertai Kejohanan Darul Aman PGM di Kedah.