Cristiano Ronaldo meledak dua gol untuk membantu Real Madrid mengatasi Real Sociedad 4-3 di Santiago Bernabeu.

Tuan rumah berada di depan seawal minit kedua menerusi pemain antarabangsa Perancis, Karim Benzema.

Malang menimpa Real selepas penjaga golnya Antonio Adan dilayangkan kad merah akibat mengasari Carlos Vela dalam kawasan penalti pada minit keenam.

Iker Casillas kemudian dibawa masuk tetapi penjaga gol utama Sepanyol itu gagal menyelamatkan sepakan Xabi Prieto.

Meskipun kurang seorang pemain, Real kekal menyerang dan kembali di depan menerusi Sami Khedira pada minit ke-35.

Namun lima minit berselang, pelawat mengikat kedudukan, sekali lagi Prieto menemui sentuhan jaringan.

Bersambung babak berikutnya, Ronaldo mula menyinar. Dia meledak dua jaringan dalam tempoh dua minit bagi meletakkan Real selesa di depan.

Meskipun Sociedad merapatkan jurang menerusi gol ketiga Prieto, ia tidak mampu menafikan kemenangan empat-tiga memihak tuan rumah.