SUKAN
Riben Kuning: Guardiola akhirnya mengalah, utamakan pasukan

Pep Guardiola memakai riben kuning sejak Oktober lalu sebagai tanda solidariti terhadap mereka yang ditahan kerana menuntut kemerdekaan wilayah Catalan. - Gambar fail
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola tidak sanggup menjejaskan pasukan yang dipimpinnya hanya kerana berterusan menyuarakan pandangan peribadinya.
Guardiola, 47 tahun, akhirnya mengalah dan akan berhenti memakai riben kuning yang dipakainya sejak Oktober lalu sekiranya tindakan itu boleh menjejaskan The Citizens.
“Sudah tentu saya tidak mahu menjejaskan pasukan saya, mereka tahu pendirian saya. Keutamaan saya adalah kelab ini. Ia lebih penting daripada pendapat peribadi saya,” katanya.
Pengurus berpengalaman itu diberi tempoh sehingga 6 petang Isnin, 5 Mac (waktu England) untuk memberi maklum balas terhadap dakwaan tersebut.
Disember lalu, Guardiola telah menyatakan kesediaannya untuk berdepan apa sahaja tindakan, daripada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mahupun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atas pendiriannya.
Jurulatih yang berasal dari Bandar Santpedor, Catalan itu memakai riben berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap aktivis kebebasan dan ahli politik Catalan yang dipenjara.
Sebelum ini, Guardiola berkata, dia akan terus ‘memakai’ simbol kemerdekaan wilayah Catalan dengan menegaskan, ia bukan mengenai ahli politik tetapi lambang demokrasi.
“Pendapat peribadi saya bukan pandangan politik, ia sama seperti lelaki dan wanita yang memakai riben merah atau merah jambu sebagai sokongan terhadap inisiatif kesedaran dan sokongan terhadap kanser payudara,” jelasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami