Jenama barangan sukan, Speedo, mengumumkan mereka telah menamatkan penajaan buat perenang Amerika Syarikat, Ryan Lochte, selepas dia membuat laporan palsu mengenai dakwaan dirompak ketika berada di Rio.

Lochte dan tiga perenang lain mencuri tumpuan setelah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah dirompak dan diacukan pistol selepas menghadiri satu majlis anjuran perenang Brazil, Thiago Pereira.

Bagaimanapun, Ketua Polis Rio, Fernando Veloso, mengesahkan tiada rompakan berlaku dan keempat-empat atlet tersebut tidak menjadi mangsa seperti mana didakwa.

Dia turut mendapati salah seorang daripada perenang tersebut telah merosakkan bilik air di sebuah stesen minyak sebelum menawarkan diri untuk membayar kerosakan tersebut.

Lochte telah mengeluarkan kenyataan terhadap penyesalannya kerana tidak menceritakan hal yang sebenar, namun atlet berusia 32 tahun itu berdiri teguh dengan dakwaan bahawa dia telah diacukan pistol.

Speedo telah mengambil keputusan untuk menarik balik penajaan mereka kepada perenang Amerika Syarikat itu.

"Speedo AS mengumumkan keputusan untuk mengakhiri penajaan kepada Ryan Lochte," menurut satu kenyataan.

"Sehubungan dengan keputusan itu, Speedo AS akan akan menderma sebanyak AS$50,000 kepada 'Save the Children', satu badan amal di bawah naungan syarikat Speedo AS, khususnya buat kanak-kanak di Brazil.

"Ketika kami meraikan kerjasama bersama Ryan lebih satu dekad dan dia merupakan anggota penting dalam pasukan Speedo, kami tidak membenarkan tingkah laku bertentangan kerana ia mampu menjejaskan nilai yang diterapkan dalam jenama ini.

"Kami menghargai setiap kejayaannya dan berharap dia akan maju ke hadapan untuk mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku."