KUALA LUMPUR: Sejumlah RM3.53 juta telah dibelanjakan untuk enam sukan bagi pelaksanaan Program Road To Gold (RTG) sepanjang tahun lepas.

Penyelaras Program RTG Datuk Stuart Ramalingam berkata pemain badminton di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima peruntukan tertinggi dalam program tersebut iaitu sebanyak RM1,182,645.93 manakala RM1,068,085.24 telah dibelanjakan untuk pemain badminton profesional.

"RM465,239.66 pula diperuntukkan bagi pelumba berbasikal negara di bawah program RTG. Sebanyak RM458,177.45 digunakan oleh sukan terjun manakala sukan hoki pula menerima peruntukan sejumlah RM342,903.62," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang juga Pengerusi Bersama RTG dan seorang lagi Pengerusi Bersama RTG Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Setakat ini, 13 atlet berada di bawah Program RTG iaitu tujuh pemain badminton kebangsaan termasuk juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu lelaki profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan atlet baharu sukan terjun, Bertrand Rhodict Lises.

Sebelum ini, ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan seorang lagi penerjun wanita negara Nur Dhabitah pernah berada di bawah Program RTG namun kedua-dua mereka disingkirkan susulan kegagalan melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris menerusi Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, baru-baru ini.

Skuad hoki lelaki kebangsaan yang mewakili sukan hoki dalam Program RTG juga digugurkan tahun lepas susulan kegagalan meraih pingat emas pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 bagi slot automatik ke Paris 2024.

Program RTG yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada April tahun lepas merupakan projek nasional dengan objektif menyelaras usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik meliputi edisi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Dalam pada itu, Stuart memaklumkan buat pertama kalinya, kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 akan menerima perkhidmatan sokongan sains sukan dan perubatan tambahan di premis "Team MAS House" yang terletak di Paris.

Katanya usaha tersebut disediakan bagi menyediakan penjagaan dan sokongan sebanyak mungkin untuk atlet di luar perkampungan sukan yang mengalami akses terhad terhadap perkhidmatan yang boleh diberikan kepada mereka.

Sukan Olimpik 2024 dijadual bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

-- BERNAMA