Ronaldo dijangka bertemu Presiden Trump di White House

Ronaldo dijangka bertemu Presiden Donald Trump di White House pada Selasa - hari yang sama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman mengadakan lawatan penuh acara bersama Trump. - Gambar fail
WASHINGTON: Superstar bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo, dijangka bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di White House pada Selasa - hari yang sama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman mengadakan lawatan penuh acara bersama Trump, menurut dua pegawai White House kepada CNN.
Ronaldo yang kini beraksi dalam Liga Pro Saudi bersama kelab Al Nassr, mencatat 143 gol antarabangsa untuk Portugal dan merupakan pemain lelaki pertama menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia.
Awal tahun ini, beliau menjadi pemain bola sepak pertama bergelar bilionair selepas menandatangani kontrak bersama Al Nassr, menurut Bloomberg Billionaires Index.
Lawatan berprofil tinggi
Lawatan Ronaldo ke White House berlangsung ketika Trump menyambut Putera Mahkota dengan segala keistimewaan seperti lawatan negara, termasuk majlis sambutan rasmi dan jamuan makan malam.
Bagaimanapun, ia tidak diklasifikasikan sebagai lawatan negara kerana Putera Mahkota bukan ketua negara Arab Saudi.
Lawatan ini turut merangkumi pertemuan dua hala di Oval Office dan sesi makan tengah hari. Ini adalah kunjungan pertama Putera Mahkota ke Rumah Putih dalam tempoh lebih tujuh tahun dan yang pertama sejak pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2018 di Konsulat Arab Saudi di Istanbul — insiden yang laporan CIA menilai berkemungkinan diarahkan oleh Putera Mahkota, walaupun beliau menafikan penglibatan.
Kunjungan Ronaldo ke AS
Kunjungan ini juga menandakan lawatan yang jarang sekali dilakukan Ronaldo ke Amerika Syarikat.
Kali terakhir beliau beraksi di negara itu ialah pada Ogos 2014 ketika mewakili Real Madrid menentang Manchester United dalam siri jelajah pra-musim di Michigan.
Ronaldo sebelum ini berdepan isu undang-undang di AS berhubung dakwaan serangan seksual pada 2009 di Las Vegas.
Beliau menafikan dakwaan itu dan menyatakan pertemuan tersebut berlaku secara sukarela.
Tiada pertuduhan dikenakan dan kes sivil terhadapnya digugurkan pada 2022 kerana salah laku peguam plaintif.
Piala Dunia 2026 yang terakhir
Ronaldo baru-baru ini mengesahkan kepada CNN bahawa Piala Dunia FIFA 2026 akan menjadi yang terakhir buatnya.
“Saya akan berusia 41 tahun, dan saya fikir ini adalah detik terakhir saya dalam kejohanan besar,” kata pemenang lima kali Liga Juara-Juara UEFA itu.
Beliau turut mengakui bakal menggantung but dalam tempoh satu atau dua tahun lagi. Piala Dunia 2026 yang menampilkan 48 pasukan - terbesar dalam sejarah akan berlangsung bermula 11 Jun 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Trump sebelum ini kerap menonjolkan peranannya membawa Piala Dunia ke AS, termasuk ketika bertemu Presiden FIFA, Gianni Infantino di Oval Office pada Isnin. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


