CRISTIANO Ronaldo dan Sadio Mane gagal memberikan impak, menyaksikan Al-Nassr mengalami kekalahan 0-2 kepada Al-Taawoun dalam aksi Liga Pro Saudi pada Sabtu.

Kedua-dua bintang itu tidak dapat membantu Al-Nassr mencipta kemenangan walaupun Al-Taawoun hanya mempunyai tujuh pemain yang bernilai lebih £1 juta.

Keputusan itu menyaksikan Al Nassr yang telah membelanjakan wang yang banyak untuk menarik pemain dari Eropah mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan liga itu musim ini.

Walaupun dibarisi pemain bintang seperti Ronaldo, Mane, Anderson Talisca dan Marcelo Brozovic, mereka bergelut untuk mengancam lawan mereka.

Pasukan pelawat mendahului menerusi tandukan penyerang Cameroon Leandre Tawamba daripada sepakan sudut pada minit ke-20.

Al Taawoun mempamerkan corak permainan bertahan dengan lima pemain di benteng belakang menyukarkan Al Nassr mencari gol sepanjang perlawanan.

Gol lewat daripada pemain gantian, Ahmed Bahusayn memastikan kemenangan 2-0 untuk Al Taawoun pada masa tambahan. - Sinar Harian