Ronaldo sama seperti Maradona, Pele - Buffon

Astro Arena
April 4, 2018 06:37 MYT
Ronaldo (gambar) menerima penghormatan daripada penyokong tuan rumah di Stadium Allianz dan memberikan kelebihan kepada Real Madrid, sebelum Marcelo menyempurnakan kemenangan pada awal pagi tadi. REUTERS
GIANLUIGI Buffon membandingkan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi seperti Pele dan Diego Maradona selepas bintang Real Madrid itu melakukan jaringan cantik ke atas Juventus.
Ronaldo menjaringkan gol menerusi sepakan gunting ketika membantu Real melakar kemenangan 3-0 dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Juve di Turin awal pagi tadi, selepas membuka jaringan pada minit keempat perlawanan.
Penyerang kebangsaan Portugal itu menerima penghormatan daripada penyokong tuan rumah di Stadium Allianz dan memberikan kelebihan kepada Real, sebelum Marcelo menyempurnakan kemenangan Real selepas Paulo Dybala dilayangkan kad merah.
Buffon hanya mampu mengagumi Ronaldo dan bintang Barca, Messi, selepas akur dengan kekalahan awal pagi tadi.
"Kami melihat kemampuan Ronaldo sejak musim lalu, pemain yang berada pada tahap yang luar biasa, mencipta kejayaan di pentas tertinggi, bersama-sama dengan Messi," katanya.
"Mereka patut dibandingkan dengan Maradona dan Pele kerana kebolehan mereka mencipta kemenangan untuk pasukan."
BACA: Turin turut kagum dengan jaringan akrobatik Ronaldo
Buffon, yang tidak pernah menjuarai UCL sepanjang kariernya, mengakui kekalahan itu memberikan tamparan kepada pasukannya menjelang aksi timbal balik di Santiago Bernabeu.
"Kesilapan boleh berlaku, anda berdepan pasukan terbaik dunia dan mereka boleh menghukum jika diberikan ruang."
#bola sepak #Cristiano Ronaldo #Diego Maradona #Gianluigi Buffon #Juventus #kad merah #Lionel Messi #Pele #Real Madrid #sepakan gunting #Turin #UCL