STATUS penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 akhirnya terjawab apabila perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia itu kembali disenaraikan dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Perkara itu dimaklumkan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill menerusi satu kenyataan media malam tadi.

Sebelum itu, Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UCI yang diadakan di Glasgow, Scotland.

“Terus-terang saya sangat lega apabila LTdL kembali disenaraikan dalam kalendar UCI kerana ia melibatkan nama baik dan imej Malaysia khususnya termasuk komuniti berbasikal di seluruh dunia.

“Ada tanggungjawab berat di bahu saya untuk memastikan ia (LTdL kembali dalam kalendar UCI) berjaya dilakukan dan saya bersyukur semuanya telah selesai sekarang,” kata Amarjit.

Status penganjuran LTdL 2023 mencetuskan tanda tanya sejak beberapa hari lalu susulan perlumbaan berstatus ProSeries itu tidak lagi diletakkan dalam kalendar UCI.

Situasi itu mencetuskan kegelisahan ramai pihak terutamanya PKBM selaku badan induk berbasikal negara dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang diberikan tanggungjawab sebagai penganjur LTdL 2023.

Amarjit berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Pengarah Sukan UCI, Peter Van De Abelle dan Jawatankuasa Lebuhraya UCI bagi membincangkan keperluan untuk LTdL 2023 kembali disenaraikan dalam kalendar badan induk dunia itu.

Malah, beliau telah menunjukkan bukti pembayaran yang telah dilunaskan oleh penganjur terdahulu LTdL sebelum ini, Human Hoyage (M) Sdn Bhd kepada beberapa pasukan yang menuntut baki bayaran mereka.

“Atas permintaan yang dibuat semasa mesyuarat itu, mereka (UCI) berbesar hati bersetuju untuk 'mengembalikan' semula LTdL 2023 serta-merta dalam kalendar UCI sementara menunggu pengesahan daripada pasukan terlibat.

“Saya menerima banyak pertanyaan daripada beberapa pasukan Pro selepas berita itu (LTdL 2023 tiada dalam kalendar UCI) tersebar minggu lalu.

“Mereka bertanya sama ada perlumbaan itu dibatalkan, tetapi saya meyakinkan mereka bahawa ia akan berjalan seperti yang dijadualkan,” kata Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia dan seorang peguam.

LTdL 2023 dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 September depan dengan 22 pasukan telah mengesahkan penyertaan pada edisi ke-23 itu. - Sinar Harian