KUANTAN: Seorang penuntut wanita sebuah institusi kemahiran maut dipercayai dibunuh teman lelakinya di sebuah rumah di Jalan Air Putih di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 mengenai kejadian itu daripada teman lelaki mangsa pada 4.32 pagi.
Beliau berkata mangsa yang berusia 19 tahun ditemukan terbaring di katil dalam sebuah bilik sewa di tingkat bawah rumah itu.
“Pemeriksaan awal oleh pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata seorang lelaki berusia 19 tahun ditahan di lokasi kejadian dan siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa.
Polis memperoleh perintah tahanan reman terhadap suspek hingga 12 Okt daripada Mahkamah Majistret di sini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ashari berkata bedah siasat dijadualkan hari ini di Jabatan Forensik HTAA dan polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh termasuk merakam percakapan saksi.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat belum disahkan kerana dikhuatiri menjejaskan siasatan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA