SHAH ALAM: Saingan Liga Emas yang diperkenalkan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) bermula bulan depan merupakan inisiatif bagi memartabatkan arena e-sukan di negara ini.

Presiden MESF Datuk Ananth S Nathan yang merupakan pencetus idea liga secara bermusim itu berkata ia juga bagi mewujudkan ekosistem e-sukan dalam melahirkan pelapis yang akan mewakili Malaysia pada masa hadapan.

"Kita mahu wujudkan usaha berterusan dan lebih awal untuk semua pemain kebangsaan, untuk pastikan para atlet sentiasa ada kesinambungan untuk bersaing dalam dunia e-sukan ini.

"Ia sekali gus memberi keyakinan kepada semua pihak berkepentingan bahawa industri e-sukan di Malaysia sedang menuju ke arah pemerkasaan global," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Liga Emas di sini pada Ahad.

Ananth memaklumkan Liga Emas yang akan berlangsung buat julung kali itu terdiri daripada empat saingan permainan video iaitu Mobile Legends, PUBG Mobile, Valorant dan FIFA Online 4.

Beliau berkata liga tersebut akan dipertandingkan dua musim setiap tahun dengan musim pertama adalah penentu buat pesaing untuk berada sama ada dalam kumpulan The Pro-League atau Division One untuk saingan seterusnya.

"Cara ini dapat menggalakkan individu dan pasukan untuk berlatih secara konsisten dan mengasah kemahiran mereka untuk menjadi atlet terbaik sebagai pelapis negara," katanya.

Beliau turut memaklumkan pemenang Liga Emas berpeluang mewakili Malaysia selain turut memperoleh hadiah menarik termasuk trofi dan ganjaran kemenangan.

Katanya pendaftaran akan dibuka selama 30 hari bermula esok menerusi laman www.mesf.gg kepada komuniti akar umbi, pemain berpengalaman atau profesional e-sukan.

-- BERNAMA