Saingan Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2018 semakin mencabar apabila hanya empat pasukan terbaik akan layak beraksi pada pusingan kalah mati bagi merebut gelaran juara sekali gus ‘diangkat’ beraksi dalam saingan Liga Premier 2019.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata format baharu itu diperkenalkan selepas menerima maklum balas daripada pasukan-pasukan bertanding selain bertujuan menjadikan pertandingan tersebut lebih kompetitif.

“Kita mendapat maklum balas daripada pasukan yang mahukan satu perubahan dari segi liga itu sendiri. Jadi bermula tahun ini, satu perubahan besar dalam struktur liga di peringkat Piala Belia, Piala Presiden dan Piala FAM dibuat dan kami harapkan ia menjadi satu saingan yang kompetitif.

“Apabila sesuatu pertandingan di peringkat bawah bagus, secara automatik ia akan membantu meningkatkan lagi kualiti liga profesional di negara. Itu yang kita menitikberatkan dalam konteks penganjuran Piala FAM tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Undian Piala FAM, Piala Presiden dan Piala Belia musim 2018 di sini, hari ini.

Format baharu saingan Piala FAM yang akan bermula pada 25 Feb ini, didahului dengan aksi peringkat liga dua pusingan melibatkan 14 pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir bagi merebut tempat di final yang turut menjanjikan dua slot ke saingan Liga Premier musim depan.

Sebelum ini, format terdahulu menyaksikan empat pasukan teratas setiap kumpulan akan bermain di peringkat suku akhir dan perlawanan akhir dijalankan secara timbal balik.

Dalam pada itu, saingan Piala FAM 2018 menyaksikan sembilan pasukan daripada musim lepas kekal dan akan dicabar lima pendatang baharu terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perlis, D’AR Wanderers FC, Marcerra United FC dan Young Fighters FC.

Kumpulan A membariskan semi finalis musim lalu, Shahzan Muda FC serta MOF FC, Kuching FA, ATM, MPKB BRI-UBES FC, KS DBKL dan Selangor United.

Kumpulan B pula terdiri daripada Terengganu City FC, Petaling Jaya Rangers, Perlis, Hanelang FC, D’AR Wanderers, Young Fighters FC dan Marcerra United.

-- BERNAMA