"SAYA perlu berjuang dan kuat untuk teruskan hidup."

Itu luahan bekas jaguh skuasy negara, Mohamad Kenneth Low Abdullah selepas diuji dengan masalah kesihatan yang menyebabkan tidak dapat meneruskan kerjaya dalam bidang kejurulatihan sejak lima tahun lalu.

Menurut Mohamad Kenneth, beliau yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih beberapa pasukan negeri termasuk pasukan kebangsaan terpaksa berhenti kerja kerana masalah kesihatan disyaki strok yang membataskan untuk dia terlibat aktif.

Selepas tidak bergelar jurulatih, beliau terpaksa mencari kerja lain termasuk pernah menjadi tukang cuci di sebuah kondominium dan kini di sebuah pusat sukan di Damansara menyebabkan kisahnya tular di media sosial.

"Saya bukan mahu meraih simpati dan saya juga tidak minta penyakit ini. Saya tahu saya tidak boleh patah semangat dan saya seorang pejuang.

"Saya tidak kisah bekerja seperti ini asalkan dapat mencari sumber pendapatan dan menampung kehidupan. Cuma, masalah kesihatan ini memberikan kesan kepada saya kerana kerap menjejaskan ingatan dan tidak dapat buat kerja yang berat," katanya kepada Sukan Sinar ketika ditemui di tempat kerjanya di Glo Damansara pada Isnin.

Menceritakan mengenai penyakit yang dialaminya, Mohamad Kenneth berkata, doktor tidak dapat mengenal pasti penyakit sebenar yang dialaminya cuma mengesyaki beliau mengalami strok.

"Semuanya bermula apabila saya demam seingat saya sebelum pandemik COVID-19. Saya tidak larat untuk bangun daripada katil dan dimasukkan ke hospital.

"Tetapi, mereka sahkan saya mengalami masalah koordinasi dan dibenarkan keluar selepas dua minggu. Selepas itu, saya masih jadi jurulatih dengan pasukan Kuala Lumpur tetap memberikan peluang kepada saya.

"Cuma, saya tidak boleh nak teruskan kerana apabila berada dalam court, masalah saraf menyebabkan saya mengalami masalah keseimbangan badan dan kerap nak jatuh.

"Namun, selepas itu, hospital juga sahkan saya sudah tidak menghadapi apa-apa masalah kesihatan dan tidak ada lagi temujanji hospital. Saya pun tidak tahu sama ada penyakit saya ini sudah sembuh atau tidak," katanya yang kini hidup sendirian selepas isteri dan anak lelakinya berhijrah ke Sabah 10 tahun lalu.

Beliau berkata, pihak Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) telah mengatur pemeriksaan kesihatan di hospital pada Jumaat ini untuk melihat tahap sebenar kesihatannya.

"Saya cuma nak tahu apa masalah kesihatan saya kerana sehingga sekarang tak ada laporan apa pun. Apabila dah tahu penyakit saya, mungkin akan ada rawatan yang sesuai dan saya boleh kembali bekerja.

"Saya juga mahu ucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin termasuk YAKEB dan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) yang banyak memberikan bantuan," katanya.

Mohamad Kenneth bukanlah nama asing dalam sukan skuasy menerusi pelbagai pencapaian termasuk berada di ranking keempat di Asia dan ke-38 di dunia.

Selepas bersara, SRAM menawarkan kontrak untuknya menjadi jurulatih sekitar 2003 dan 2004.

Dia kemudiannya berhenti sebagai jurulatih kebangsaan apabila ditawarkan menjadi jurulatih Kuala Lumpur sebelum berhijrah ke Bangkok, Thailand dan kembali menjadi jurulatih KL dan Pahang selepas itu. - Sinar Harian