SHAH ALAM: Ketua Pengawai Operasi, Selangor FC, Aladdin Mostafa memberi bayangan akan mendapatkan khidmat pemain import baharu dari Amerika Latin bagi memperkuatkan pasukan itu mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

Beliau berkata skuad Gergasi Merah sedang mempertimbangkan beberapa pemain dari benua berkenaan bagi memenuhi kuota import pasukan itu musim ini.

"Insya-Allah akan ada penambahan muka baharu dalam masa terdekat. Siapa, saya tidak boleh dedahkan, kita perlu tunggu pengumuman rasmi dibuat," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pasukan e-sukan Selangor FC, di Pusat Latihan Selangor FC, di sini, semalam.

Aladdin berkata setakat ini, tiada lagi penambahan pemain tempatan baharu yang akan menyertai pasukan berkenaan.

Sebelum ini, Selangor FC memperkenalkan empat pemain baharu dalam skuad bimbingan Tan Cheng Hoe iaitu Ahmad Khuzaimi Piee, V. Ruventhiran, Mohamad Faisal Abdul Halim dan terbaru pemain tengah skuad kebangsaan Jordan, Noor Al-Rawabdeh, yang juga pemain import pertama diikat pasukan itu.

Beliau berkata pihaknya kini sedang merancang beberapa perlawanan persahabatan di Thailand sebagai persiapan menghadapi Liga-M musim ini.

"Kami mungkin adakan perlawanan dengan satu atau dua pasukan daripada liga utama negara itu. Kami akan maklumkan nanti," katanya.

-- BERNAMA