KINI sudah memasuki tahun kedua semenjak pentadbiran badan induk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertukar tangan. Namun sayangnya, masih belum ada hasil mampu dibanggakan ketika ‘jenama’ FAM tampak seakan samar.

Laungan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk meneraju FAM ke tapak lebih tinggi seakan temui jalan buntu ketika misi membentuk FAM selaku badan sukan contoh masih di peringkat ‘terkial-kial’ mencari objektif sebenar.

Apa yang jelas, FAM lebih gemar gunakan pendekatan ‘trial and error’ berbanding janji untuk lebih teliti sebelum melaksanakan sesuatu pembaharuan.

Antara kegagalan ‘trial and error’ FAM ialah keputusan membubarkan pasukan pelapis utama, Harimau Muda A yang jadi detik mula kehancuran barisan pelapis yang mula dibentuk sejak 2007 itu.

Malah pengendalinya Datuk Ong Kim Swee akui terlalu kecewa dengan keputusan FAM yang bertindak tanpa merujuk ataupun mendengar pendapatnya terlebih dahulu.

"Saya kecewa dan putus harapan selepas pulang dari Australia, melihat pasukan yang sering bersama dengan saya kini berpecah dan saya tidak miliki apa-apa lagi untuk di banggakan" ujar Kim Swee.

Kesan keputusan drastik itu menyaksikan Kim Swee menanggung aib di Sukan Sea Singapura dan Sukan Universiti Dunia di Gwangju baru lalu apabila pemainnya hadir ibarat hanya pelengkap jadual tanpa miliki sasaran ekoran kekangan tempoh latihan dan persiapan cacamarba.

Siapa juga sangka keterbukaan FAM membenarkan maksimum 4 pemain import di kancah liga akhirnya cetus kerugian kepada skuad negara.

Niat FAM mahu lihat budaya saing di kalangan tonggak tempatan seakan memakan diri sendiri apabila peluang pemain tempatan tersekat – sekali gus menyaksikan penghuni bangku simpanan diangkat sebagai ‘barisan terbaik’ dalam kesebelasan utama skuad negara.

Yang nyata skuad negara bimbingan Dollah Salleh sekadar mencoret graf menurun, sekali gus Dollah dipaksa menanggung kecaman tidak berkesudahan ekoran gagal membentuk pasukan lebih mantap daripada pengendali terdahulu, Datuk K Rajagobal.

Itu belum dikira ‘trial and error’ FAM mengatur jadual Liga Malaysia sepanjang bulan Ramadan – keputusan yang mengundang kritikan daripada pelbagai sudut.

Pendekatan sebegitu harus diubah dengan FAM harus belajar mengutamakan penelitian menyeluruh sebelum dipaksa menanggung risiko dan menghakis kepercayaan peminat serta umum kepada badan induk itu.

Sikap penuh teliti bukan bermakna membuang masa, kerana ia adalah antara perincian perlu jika benar bola sepak Malaysia mahu menuju era professional.