SYARIKAT kecantikan terkemuka dari Perancis, Sephora membuat kemunculan pertama kali dalam industri e-sukan apabila ia menjadi penaja untuk Festival E-Sukan GIRLGAMER yang akan berlangsung di Lisbon, Portugal bulan depan.

Pengarah Pemasaran Sephora Paula Rocha berkata pihaknya percaya keterbukaan pasaran industri permainan video sama kini dilihat sama seperti pasaran kecantikan, yang tidak terhad dengan mana-mana jantina.

“Permainan video kini tidak lagi diwakili atau tidak tersekat dengan hanya satu jantina.

“Selaku jenama pencetus trend yang menggalakkan kepelbagaian, kami sangat gembira untuk berkerjasama dengan GIRLGAMER,” katanya dalam satu kenyataan.

Festival E-Sukan GIRLGAMER yang kembali untuk tahun kedua itu diadakan bagi menyemarak dan menggalakkan lebih banyak persaingan e-sukan dalam kalangan wanita.


Selain persidangan perniagaan e-sukan, beberapa siri kejohanan e-sukan bakal dianjurkan sempena festival e-sukan tersebut.

Antaranya, termasuk Counter Strike: Global Offensive (CS:GO), League of Legends (LoL) dan Clash Royale yang menawarkan hadiah wang terkumpul sebanyak kira-kira RM94,000 (€20,000).

Sementara itu, penganjur festival tersebut Telmo Silva berkata GIRLGAME dilihat sebagai satu langkah untuk menjadikan dunia e-sukan lebih universal dan inklusif.

“Persaingan dalam dunia e-sukan sepatutnya lebih menyeluruh. Bagaimanapun, penglibatan wanita dalam arena profesional e-sukan ketika ini memang berada pada tahap sangat rendah.

“Oleh itu, sebagai langkah untuk membangunkan dan memacu daya saing wanita, di sinilah lahirnya idea penganjuran festival GIRLGAMER,” katanya.

Festival E-Sukan GIRLGAMER yang dianjurkan Grow uP eSports itu mendapat sokongan penuh Institut Sukan dan Belia Portugis serta Dewan Perniagaan dan Industri PortugalChina.