TIADA simpati dari Sevilla buat ketua jurulatih Eduardo Berizzo yang dipecat susulan kemerosotan prestasi kelab La Liga itu.

Keputusan drastik itu dibuat hanya seminggu selepas jurulatih kelahiran Argentina itu kembali bertugas selepas menjalani pembedahah kanser prostat.

Pengurusan Sevilla merumuskan Berizzo sebagai tidak berupaya untuk menyelamatkan pasukan yang hanya mampu mengutip satu mata dalam tiga perlawanan terakhir.

Rabu lalu pasukan itu tewas 1-3 kepada Real Sociedad sekaligus meletakkan Sevilla di tangga kelima liga dengan jarak 13 mata di belakang pendahulu Barcelona.

Berizzo mengumumkan mengenai penyakit yang dihidapinya sejurus perlawanan menentang Liverpool dalam kempen Liga Juara juara Eropah November lalu yang berkesudahan seri 3-3.

Menyertai Sevilla dari Celta Vigo pada Mei lalu, jodoh bersama gergasi bolasepak Sepanyol itu sekadar mampu bertahan selama tujuh bulan.

Sementara itu Sevilla dalam kenyataannya memaklumkan kelab itu masih dalam proses mencari pengganti Berizzo.

Sevilla bakal berdepan Real Betis dalam aksi La Liga 6 Januari depan dan dijadual bertemu Manchester United dalam peringkat kalah mati Liga Juara-juara Eropah pada 21 Februari.