KUALA LUMPUR: Bila berbicara mengenai kancah bola sepak tempatan, saingan Liga Malaysia (Liga-M) cukup sinonim dengan kelab Johor Darul Ta'zim (JDT).

Ia selepas peminat bola sepak seluruh negara menyaksikan kebangkitan sebuah pasukan dari selatan tanah air, yang mendominasi Liga Super dengan rekod kejuaraan lapan kali berturut-turut sejak 2014.

Berdasarkan statistik perlawanan dan kutipan mata saban musim, sukar untuk mengatakan kejayaan dicipta skuad Harimau Selatan yang dimiliki Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu, semata-mata disebabkan nasib.

Revolusi, pelaburan dan percaturan 'agresif' yang dilakukan JDT, menyaksikan penanda aras yang dicipta serta segala pencapaian yang diraih meletakkan mereka dalam kelas tersendiri, malah tidak keterlaluan untuk mengatakan mereka jauh meninggalkan pasukan-pasukan lain di Malaysia.

Namun, bola itu bulat dan tiada yang mustahil dalam sukan bola sepak, kerana apa sahaja boleh berlaku sepanjang 90 minit permainan, malah tiada keputusan boleh diramal lebih awal.

Ia sekali gus menjadikan saingan Liga-M 2022 yang akan bermula hari ini satu kempen saingan yang menarik untuk diikuti, kerana adakah JDT akan mengekalkan kejuaraan buat kali kesembilan atau muncul sebuah pasukan baharu yang mampu menamatkan penguasaan mereka, di penghujung musim?

Sudah pasti tugas getir menanti pasukan yang berhasrat merampas kejuaraan Liga Super, apabila JDT terlebih dahulu memberi amaran awal menerusi kejayaan menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah, pada perlawanan Sumbangsih yang merupakan aksi pembuka tirai Liga-M, 26 Feb lepas.

Kejayaan JDT menumbangkan juara Piala Malaysia 2021 Kuala Lumpur (KL) City FC 3-0 pada pertembungan itu, membuktikan skuad bimbingan Benjamin Mora telah bersedia untuk berdepan segala kemungkinan dan cabaran yang bakal ditampilkan kesemua pencabarnya.

Atas kertas, naib juara Liga Super 2021 Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC (TFC) dilihat sebagai pencabar utama JDT musim ini, kerana potensi dan kekuatan pasukan yang hampir sama, namun dibezakan dengan faktor keupayaan mengekalkan konsistensi dalam setiap perlawanan.

Sebagai rekod, TFC muncul pasukan tunggal yang berjaya mencuri tiga mata daripada JDT musim lepas, sementara KDA FC tampil berkeyakinan dengan sasaran musim ini untuk merampas kejuaraan yang dinikmati JDT.

Selain dua kelab itu, kehadiran pasukan seperti Selangor FC, Penang FC, Sri Pahang FC dan KL City FC, yang masing-masing mempunyai sejarah pernah menjadi antara pasukan terbaik, perlu diberi perhatian berikutan elemen kejutan yang mungkin ditampilkan musim ini.

Sementara cabaran baki lima pasukan iaitu Petaling Jaya (PJ) City FC, Melaka United, Sabah FC dan dua pendatang baharu Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC, yang melengkapkan keseluruhan 12 pasukan bertanding turut tidak boleh dipandang remeh.

Pada masa sama, saingan Liga Premier 2022 yang membariskan 10 pasukan menyaksikan Perak FC dan UiTM FC, masing-masing menyimpan hasrat untuk menebus kekecewaan selepas maruah tercalar apabila disingkirkan daripada Liga Super musim lepas.

Bagaimanapun, mereka dijangka menerima tentangan sengit Kelantan FC, Kelantan United FC, PDRM dan Kuching City FC yang turut dianggap sebagai pasukan pilihan dalam persaingan merebut dua tempat teratas, yang menjanjikan slot ke Liga Super musim depan.

Perebutan itu turut melibatkan tiga pasukan 'feeder' iaitu Selangor FC II, JDT II dan TFC II, serta skuad dibarisi pemain pelapis negara Skuad Projek FAM-MSN, yang mampu menjadi 'pengacau' kepada pasukan dalam memburu mata.

Selain Liga Super, Liga Premier dan Piala Malaysia, Liga-M musim ini juga dihangatkan dengan kempen Piala FA, yang kembali dipertandingkan selepas dibatalkan sejak 2020.

Dalam pada itu, musim baharu Liga Super dan Liga Premier adalah peluang terbaik buat Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya Kim Pan Gon, melihat serta membuat penilaian prestasi pemain dalam usahanya membentuk pasukan terbaik menjelang Kelayakan Piala Asia 2023, Jun ini.

Justeru, kesemua pemain negara yang kini mempunyai peluang agak seimbang untuk memikat hati Pan Gon, wajar mengambil peluang dengan mempamerkan keazaman, ketekunan dan kesungguhan dalam setiap perlawanan Liga-M, bagi sama-sama membantu mengangkat semula martabat skuad kebangsaan.

-- BERNAMA