HANGZHOU: Kira-kira setahun lepas, pemain skuasy wanita negara S. Sivasangari langsung tidak menyangka mampu beraksi di Sukan Asia di sini, apatah lagi untuk merangkul pingat emas semalam.

Selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Maju di Kuala Lumpur, Jun tahun lepas, kira-kira sebulan sebelum temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada 28 Julai hingga 8 Ogos, timbul persoalan terhadap karier Sivasangari sama ada beliau masih mampu kembali ke gelanggang.

Pemain berusia 24 tahun itu yang sebelum ini dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang untuk Birmingham 2022 bersama-sama jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin, mengambil masa beberapa bulan untuk pulih daripada kecederaan kepala dan tulang belakang (C1) yang dialami akibat nahas berkenaan.

Selepas beransur-ansur pulih dan mempamerkan keyakinan sebagai prospek pingat di Hangzhou 2023, Sivasangari sekali lagi dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang bersama-sama jaguh berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom di temasya berkenaan.

Pada final acara wanita berpasukan di Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou semalam, Sivasangari menepati jangkaan dengan mengemudi kebangkitan pasukan menewaskan juara bertahan Hong Kong 2-1 bagi merampas kembali kejuaraan selepas berpuas hati dengan gangsa pada edisi lepas.

"Ia merupakan cabaran paling besar bagi saya... Saya bersyukur kepada Tuhan kerana berada di sini, mampu beraksi. Menjadi sebahagian daripada anggota pasukan ini, saya rasa sangat bertuah, setiap orang ada cabaran tersendiri.

"Saya sangat gementar (selepas ketinggalan) pada aksi final tadi. Kita semua tahu Rachel Arnold melakukan yang terbaik, sengit pada perlawanan pertama, saya bangga dengan cara pertarungannya. Saya mampu bersikap positif, tumpu pada satu mata dan gembira menghadiahkan kemenangan buat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Terdahulu, Malaysia ketinggalan apabila Rachel tewas kepada Tong Tsz Wing 11-7, 7-11, 11-8, 8-11, 6-11, sebelum Sivasangari menguasai perlawanan kedua dengan mengalahkan Ho Tze Lok 11-5, 11-8, 11-6 sekali gus menyamakan kedudukan manakala Aifa Azman yang diturunkan dalam perlawanan penentuan kemudian berjaya mengatasi Chan Sin Yuk 11-5, 11-8, 11-13, 11-8.

Pada edisi Guangzhou 2010, Malaysia yang ketika itu dipimpin oleh Datuk Nicol David, memenangi pingat emas acara berpasukan yang mula diperkenalkan dan sekali lagi memenanginya pada Incheon 2014, namun sekadar pingat gangsa di Sukan Asia Jakarta-Palembang pada 2018 selepas tewas kepada India di separuh akhir.

Sementara itu, Aifa, 21, berkata dia mampu memenangi perlawanan kerana turun ke gelanggang dengan persediaan dan perancangan rapi, walaupun ini kali pertama beraksi bagi perlawanan penentuan.

Bagi adiknya, Aira yang tidak berpeluang beraksi semalam, kemenangan itu merupakan hadiah ulang tahun kelahirannya ke-19, pada Jumaat (29 Sept).

Sivasangari dan Aira akan meneruskan cabaran mereka bagi acara perseorangan wanita yang dijadualkan Isnin ini manakala Aifa akan bergandingan dengan Mohammad Syafiq Kamal dan Rachel berpasangan dengan Ivan Yuen dalam acara beregu campuran hari ini.

Ng Eain Yow dan Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar pula menggalas cabaran bagi acara perseorangan lelaki.

-- BERNAMA