BEKAS ketua pasukan hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, menyarankan agar skuad hoki negara bangkit secara individu dan berpasukan untuk memadam memori hitam dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang yang tampak meragut semangat mereka ketika ini.

Tragedi 1 September lalu pasti berbekas dalam memori barisan pemain dan jurulatih hoki negara.

Ini susulan penamat yang cukup memilukan dalam aksi final Sukan Asia Indonesia.

Skuad negara tewas 1-3 kepada Jepun dalam penentuan penalti selepas diikat 6-6 dalam aksi sepenuh masa.

Kegagalan tersebut pahit untuk ditelan pemain mahupun jurulatih, Stephen Van Huizen, yang juga dapat dilihat masih beremosi ketika pulang ke tanah air.

"Beliau masih gagal menahan sebak selepas beberapa hari tragedi itu berlaku tetapi saya pasti, bukan mudah sebenarnya.

"Kalau teringat semula, lebih-lebih lagi menjadi sebahagian pasukan, ia memang sukar.

"Sebab itu kita tengok Van Huizen begitu sebak dan beremosi," katanya.

Mengakui impak kekalahan itu cukup kuat, Mirnawan bagaimanapun menggesa para pemain negara agar mencari semula kekuatan diri masing-masing untuk bangkit dengan segera.

Skuad negara perlu menamatkan saingan di kedudukan kedua terbaik dalam final siri dunia, April tahun depan, untuk beraksi di peringkat kelayakan Sukan Olimpik 2020 pada penghujung 2019 yang menjadi peringkat terakhir sebelum layak ke Tokyo.

Namun, skuad hoki negara terlebih dahulu perlu mempamerkan kebangkitan dalam Piala Dunia di Bhubaneswar India, November depan.

"Setiap orang memerlukan pendekatan yang berbeza.

"Mungkin Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Van Huizen boleh merancang mengadakan kem bina semangat kerana pada pandangan saya, mereka harus bangkit sebagai sebuah pasukan.

"Jangan biarkan kapal ini retak," ujarnya.