KUALA LUMPUR: Barisan Skuad Projek Khas Hoki Wanita Kebangsaan memerlukan pemain yang bukan sahaja berdisiplin malah berdisiplin dalam mematuhi taktik permainan yang diatur bagi berdepan pasukan yang lebih berpengalaman pada kempen Piala Asia 2022 di Muscat, Oman dari 21 hingga 28 Jan nanti.

Ketua Jurulatih Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menegaskan perkara itu amat penting bagi mengelakkan gawang negara daripada mudah dibolosi ketika beraksi dalam saingan berkenaan.

"Kita tengok macam mana yang mereka berikan dalam latihan dan dalam game (perlawanan) ini juga, sebab kita bukan sahaja nak pemain yang berdisiplin tetapi juga yang 'tactically discipline' sebab bila lawan pasukan yang kuat kita nak pemain yang ikut cakap kita, sebab kita main sebagai satu pasukan, itu yang kita perlukan supaya tidak ada bocor dalam satu tempat lepas tu bocor semua area (tempat)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pasukannya dibelasah 2-6 dalam aksi persahabatan menentang MBPJ Boys di Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini semalam.

Mengulas mengenai kekalahan itu Nasihin berkata perlawanan itu adalah bertujuan untuk membiasakan barisan skuad wanita kebangsaan itu dengan keadaan permainan intensiti tinggi selain menguji kecergasan pemain dalam berhadapan dengan pasukan lawan yang memiliki rentak permainan pantas.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu menambah beliau tidak meletakkan sasaran yang tinggi untuk pertandingan yang akan datang itu namun mahu melihat muka baharu yang akan dipilih nanti mempamerkan aksi positif dalam saingan itu.

"Kita realistik sebab kita ada lima pemain senior yang lain adalah pemain bawah 21 tahun dan di Oman nanti adalah Kelayakan Piala Dunia, sudah tentu negara lain akan hantar pasukan yang terbaik yang dah memang biasa dalam Sukan Olimpik dan Piala Dunia.

"Bagi kita pula, langkah masih jauh lagi jadi kita perlu bersabar selain menanti perkembangan yang berlaku di Oman," katanya.

Malaysia yang diletakkan di dalam Kumpulan A bersama India, Jepun dan Singapura pernah merangkul gangsa dalam edisi sulung pada 1985 di Seoul, Korea Selatan, yang juga merupakan pencapaian terbaik mereka setakat ini.

-- BERNAMA