KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan terpaksa menelan hakikat bahawa mereka masih belum cukup garang untuk bersaing dengan pasukan handal lain pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, selepas terus kempunan melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Keputusan seri 3-3 menentang Pakistan pada kempen kelayakan Sukan Olimpik di Muscat, Oman, menyaksikan Speedy Tigers bukan sahaja gagal menempatkan diri ke separuh akhir, malah menamatkan saingan Kumpulan A di tempat tercorot dengan satu mata di belakang China (3 mata), Pakistan (4 mata) dan Great Britain yang muncul juara kumpulan (9 mata).

Bekas penyerang kebangsaan Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata kelemahan ketara adalah di benteng pertahanan sehingga menyaksikan mereka tewas 2-3 kepada China dalam aksi pertama Isnin lepas, selain bolos tiga kali ketika diikat Pakistan semalam.

Menurut beliau hal itu merupakan antara faktor yang meranapkan impian pasukan bimbingan A. Arul Selvaraj untuk menamatkan kemarau 24 tahun beraksi di Sukan Olimpik.

"Sejujurnya saya tak kecewa sangat kerana persembahan Speedy Tigers tidaklah terlalu teruk, mereka boleh main cuma tidak boleh menang berkemungkinan besar disebabkan kelonggaran di bahagian pertahanan.

"Ketika menyerang, kita meninggalkan ruang cukup besar di bahagian belakang. Jadi, sukar untuk kita menutup ruang lebih-lebih lagi sewaktu berdepan serangan balas, seterusnya beri peluang kepada China dan Pakistan untuk meraih mata. Secara keseluruhan, saya rasa Malaysia belum cukup kuat ke Sukan Olimpik," katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain kekalahan kepada China dan seri dengan Pakistan, Malaysia juga dibelasah 1-4 oleh Great Britain, Selasa lepas.

Hanya tiga pasukan terbaik dalam kempen kelayakan di Oman akan melayakkan diri ke Paris 2024.

Justeru, Nor Saiful yang pernah beraksi sebanyak tiga kali di pentas Olimpik iaitu pada edisi Barcelona 1992, Atlanta 1996 dan Sydney 2000, menyarankan supaya Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) merangka pendekatan untuk mendedahkan skuad hoki negara tentang cara permainan hoki moden seperti yang diterapkan oleh kebanyakan gergasi dunia dari Eropah ketika ini.

Katanya, ini termasuk menghantar pasukan kebangsaan menyertai siri jelajah persabahatan serta kem latihan secara lebih kerap di Eropah, selain cuba beraksi pada Liga Pro-Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang menghimpunkan pasukan terbaik dunia.

Sejak diperkenalkan pada 2019, Malaysia belum pernah menyertai saingan Liga Pro-FIH manakala India muncul satu-satunya pasukan dari Asia yang berentap dalam pertandingan tersebut.

Bekas pengendali skuad remaja kebangsaan itu berkata KHM juga perlu mempunyai formula baharu dalam memperkasakan pembangunan di peringkat akar umbi agar program dijalankan seiring dengan pendekatan permainan hoki moden.

Selain Malaysia, beliau juga berpendapat standard pasukan dari Asia lain seperti Jepun, Pakistan dan China belum mampu menandingi kekuatan beberapa pasukan hebat dari Eropah.

"Dahulu Perancis tiada nama dalam sukan hoki namun sekarang sukar untuk tewaskan mereka kerana boleh dikatakan (mereka) pasukan kuat kerana mereka banyak belajar cara memperhebatkan program akar umbi agar selari dengan cara permainan era sekarang," tambahnya.

Malaysia yang menghuni ranking ke-14 dunia akan meneruskan perjuangan di Oman selepas dijadualkan bertemu Chile bagi perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan, Sabtu ini.

Kali terakhir Malaysia layak ke Olimpik adalah pada edisi 2000 di Sydney.

-- BERNAMA