KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan memerlukan lebih banyak perlawanan kompetitif dengan pasukan terbaik dunia sebagai persiapan menamatkan kemarau lebih dua dekad beraksi di temasya Sukan Olimpik pada edisi Los Angeles 2028 (LA28).

Bekas ketua jurulatih kebangsaan, A Arul Selvaraj berkata pemain skuad Speedy Tigers perlu membiasakan diri untuk beraksi dalam tekanan menentang pasukan gergasi terutamanya pasukan ranking lima terbaik dunia menerusi perlawanan berintensiti tinggi.

Arul, yang kontraknya tamat selepas skuad Speedy Tigers gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 Januari lepas, berkata pemain negara mengulangi kesilapan mudah pada saat-saat genting dalam perlawanan utama kerana kurang pendedahan menentang pasukan bertaraf dunia.

Beliau yang mengalas tugas selaku pengendali skuad itu sejak September 2020 berkata sekadar mengadakan lawatan ke Australia atau Eropah untuk bermain lima perlawanan sekali atau dua kali setahun tidak memadai untuk membantu skuad Speedy Tigers mencabar pemain lawan yang beraksi secara konsisten di liga Eropah dan Liga Pro Hoki.

Katanya skuad negara pernah dibimbing oleh jurulatih yang hebat termasuk Paul Lissek dari Jerman, Paul Revington dari Afrika Selatan, pakar tempatan Stephen van Huizen dan jurulatih dari Belanda, Roelant Oltmans, yang pernah mencapai pelbagai kejayaan, namun masih gagal melayakkan diri ke Olimpik sejak penampilan terakhir di edisi Sydney 2000, sekali gus menimbulkan kebimbangan.

"Ireland, sebuah negara kecil, layak ke Sukan Olimpik Rio 2016 dan kini Paris, kerana kebanyakan pemain bermain di liga Eropah, mereka bermain selama tujuh hingga lapan bulan. Mengapa India bermain dengan baik?...kerana mereka bermain dalam Liga Pro dan pembiayaannya besar.

"Sebagai jurulatih, anda boleh membetulkan pemain sekali atau dua kali, tetapi selepas beberapa tahun jika masih membetulkan berulang kali kesilapan yang sama, anda boleh membawa mana-mana jurulatih di dunia tetapi keputusan tidak akan berbeza," katanya kepada Bernama semalam.

Pada Sukan Asia Hangzhou, yang menawarkan slot Olimpik untuk pemenang pingat emas, pasukan negara gagal melepasi peringkat kumpulan selepas mengalahkan Thailand 9-0, Oman 11-1 dan Indonesia 9-2, tetapi dikalahkan 4-3 kepada Korea Selatan dan terikat 4-4 dengan tuan rumah China untuk menduduki tempat ketiga dalam kumpulan (hanya dua teratas mara).

Pada Kelayakan di Muscat, Oman dari 13-21 Jan lalu, peluang terakhir ke Sukan Olimpik, Malaysia menduduki tempat terakhir dalam kumpulan selepas tumbang 2-3 kepada China, 1-4 menentang Great Britain dan terikat 3-3 dengan Pakistan, justeru terlepas peluang untuk mara ke separuh akhir, dengan hanya tiga pasukan teratas dalam kejohanan memperoleh kelayakan ke Paris.

Arul, bekas pemain kebangsaan kelahiran Segamat, Johor, yang kecewa gagal membawa kembali skuad Speedy Tigers ke pentas Olimpik selepas kembali dari Dublin, Ireland, akan pulang ke negara itu bulan depan untuk meluangkan masa bersama isteri dan tiga anak perempuannya.

Selepas berehat beberapa bulan, beliau dijangka menggalas tanggungjawab selaku pengarah kejurulatihan di kelab Ireland pada pertengahan tahun ini.

Pemain Olimpik dan bekas kapten pasukan negara Sarjit Singh telah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu untuk membangunkan semula skuad Speedy Tigers dengan harapan layak ke Sukan Olimpik LA28.

-- BERNAMA