IPOH: Skuad hoki lelaki negara layak ke perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah 2022 setelah mempamerkan aksi berbisa membenamkan Jepun 4-2 dalam perlawanan terakhir liga sepusingan di sini, malam tadi.

Skuad kendalian A. Arul Selvaraj hanya memerlukan keputusan seri untuk melangkah ke final tetapi sebaliknya mempamerkan penguasaan penuh dalam saingan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini.

Keputusan tersebut membolehkan skuad Speedy Tigers mengumpul 10 mata menerusi tiga kemenangan, satu seri dan satu kalah untuk menduduki tempat kedua manakala sebelum itu, Korea Selatan menumpaskan Afrika Selatan 2-1 untuk mengesahkan kedudukan di tangga pertama.

Pakistan pula menamatkan saingan liga sepusingan dengan mencatatkan kemenangan pertama apabila menumpaskan Mesir 4-1.

Malaysia akan menentang Korea Selatan pada aksi final, Khamis ini.

Pada perlawanan pertama, 1 Nov lalu, Malaysia tewas 0-3 kepada Korea Selatan.

Dalam aksi Malaysia-Jepun, pasukan tuan rumah berada di hadapan pada minit ketujuh menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abdul Rahim dan beliau sekali lagi cemerlang untuk menjadikan kedudukan 2-0 selang seminit kemudian.

Tersentak dengan dua gol, Jepun menggandakan asakan dan berjaya merapatkan jurang apabila Kaito Tanaka menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-22.

Pada suku ketiga, Malaysia mengukuhkan penguasaan apabila Nik Aiman Nik Rozemi menjaringkan gol pada minit ke-30 dan empat minit kemudian Jepun menambah gol mereka menjadikan kedudukan 2-3 menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Shota Yamada.

Skuad Speedy Tigers menutup aksi suku keempat dengan kedudukan selesa mendahului 4-2 selepas Nor Syafiq Sumantri bijak menyempurnakan peluang apabila menjaringkan gol pada minit ke-45.

Sementara itu, Arul Selvaraj nyata bangga dengan persembahan anak buahnya yang menunjukkan semangat juang tinggi untuk layak ke perlawanan akhir.

"Inilah pasukan 'baharu' Malaysia yang mempunyai disiplin dan karakter yang tinggi dalam berpasukan. Walaupun telah mendahului pihak lawan tetapi tetap bersedia serta berjuang hingga tamat perlawanan," katanya.

Malaysia tidak pernah muncul juara sejak kejohanan berprestij itu mula diperkenalkan pada 1983 dengan pencapaian terbaik adalah muncul naib juara sebanyak lima kali.

Edisi terakhir pada 2019 menyaksikan skuad negara meraih tempat ketiga selepas menewaskan Kanada 4-2, manakala juara menjadi milik Korea Selatan dan India menjadi naib juara.

-- BERNAMA