KUALA LUMPUR: Peminat bola sepak yang cuba untuk menonton Liga Perdana Inggeris (EPL) melalui laman penstriman haram berisiko empat kali lebih tinggi diancam serangan siber dan penipuan secara dalam talian.

Pada masa sama, kotak Android TV yang menawarkan akses haram kepada pelbagai filem dan siri televisyen juga didapati menyimpan perisian hasad (malware).

Itu dapatan kajian oleh EPL dan diterbitkan melalui jaringan Kajian Sains Sosial (SSRN) oleh Profesor Paul Watters yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cyberstronomy, sebuah firma keselamatan siber di Melbourne.

Menerusi kajian bertajuk 'Scams, Cyber Threats And Illicit Sports Streaming In Singapore', laporan Watters - yang merupakan profesor kriminologi dan pengajian keselamatan di Macquarie University serta sekuriti siber di La Trobe University - telah mengkaji laman dan alatan penstriman sukan haram.

Beliau yang menilai 25 laman penstriman sukan haram di Singapura mendapati, setiap satu daripada dua iklan di laman web penstriman sukan haram adalah berisiko tinggi, mengandungi malware atau dihubungkan ke laman web penipuan dalam talian.

Memetik Laporan The Straits Times, laman web penstriman haram juga boleh digunakan oleh penjenayah siber untuk mencuri maklumat peribadi menggunakan laman pendaftaran palsu.

Selain itu, dalam sesetengah kes, ia juga akan meminta pengguna untuk memuat turun perisian sebelum mereka boleh mengakses kandungan.

Daripada 25 laman web penstriman sukan haram yang dikaji, 19 daripadanya masih boleh diakses ketika ini.

Menurut beliau, tiga model unit penstriman haram adalah SVI Cloud, Ubox dan EVPad di mana ia mengandungi 116 aplikasi secara keseluruhan.