KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, masih berteka-teki dengan kemungkinan nama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, bakal mengetuai Program 'Road to Gold'.

Tanpa memberi sebarang gambaran jelas, Hannah lebih selesa tidak mendedahkan situasi itu sama ada benar atau sebaliknya memandangkan pengumuman khas hanya akan dibuat pada Ahad ini.

Andai benar Stuart merupakan calon terbaik, mungkin sedikit persoalan timbul memandangkan Stuart adalah orang penting dalam penganjuran Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini.



"Kita perlu tunggu pengumuman. Kami akan mengadakan sidang media mengenai Program Road to Gold pada hujung minggu ini. 

"Tapi saya setakat ini tidak boleh mengulas lebih lanjut lagi," katanya hari ini. 

Hannah ditemui ketika menghadiri majlis penyampaian hadiah Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin.

"Kalau ada pihak korporat seperti ini yang memainkan peranan dan dengan insentif Belanjawan yang telah diumumkan perdana menteri akan banyak membantu program seperti ini," katanya lagi.