BIRMINGHAM: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengubat luka kekalahan kepada beregu tuan rumah Ben Lane-Sean Vendy dalam pusingan akhir sebelum ini dengan merangkul pingat gangsa di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Bagaimanapun, lawan mereka iaitu satu lagi beregu negara Chan Peng Soon-Tan Kian Meng memberi tentangan sengit sebelum akhirnya Aaron-Wooi Yik muncul pemenang di National Exhibition Centre di sini.

Aaron-Wooi Yik menundukkan Peng Soon-Kian Meng 21-19 pada set pertama sebelum tewas pada set kedua 11-21.

Beregu nombor enam dunia itu kembali menyerlah pada set seterusnya dengan kemenangan 21-11, sekali gus meraih pingat dalam acara individu, selepas membantu Malaysia mendapatkan emas acara berpasukan campuran mengatasi India 3-1 Khamis lepas.

Terdahulu Kian Meng membawa pulang gangsa dalam acara beregu campuran bergandingan dengan Lai Pei Jing, selepas menewaskan beregu Scotland Adam Hall-Julie Macpherson, 21-15, 21-17.

Kem badminton negara berpeluang untuk memenangi emas selepas perseorangan lelaki Ng Tze Yong dan beregu wanita Pearly Tan-M.Thinaah mara ke final yang berlangsung hari ini.

Tze Yong bakal bertemu perseorangan utama India Lakshya Sen, manakala Pearly-Thinaah akan menentang wakil tuan rumah Chloe Birch-Lauren Smith.

-- BERNAMA