KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kekal meletakkan sasaran pingat buat kem badminton negara ke Sukan Komanwel 2022.

Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, BAM akan memperincikan sasaran pingat terbaharu susulan tindakan penarikan diri jaguh perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia daripada menyertai temasya sukan itu.

"Kita harus melihat kepada satu pasukan. Saya rasa semua pemain mahu meneruskan tradisi Malaysia dalam sukan badminton...buat masa ini kita menyasarkan dua emas tapi kita akan perincikan lagi, hendak tengok keadaan berdasarkan pelan untuk Sukan Komanwel.

"Kita akan berbincangan lanjut mengenai perkara ini dan saya rasa badminton akan terus menyumbang pingat kepada kontinjen negara terutama di Sukan Komanwel," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ke-6 di sini hari ini.

Rabu lepas, peminat sukan tanah air terpaksa melupakan hasrat melihat Zii Jia beraksi pada Sukan Komanwel 2022, selepas beliau sah menarik diri daripada temasya di Birmingham, England, pada 28 Julai hingga 8 Ogos.

Keputusan berkenaan dibuat disebabkan jadual padat yang diharungi pemain di ranking kelima dunia itu sejak kebelakangan ini, di samping berhasrat memberi tumpuan sepenuhnya kepada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, dari 22 hingga 28 Ogos ini.

Sementara itu, mengulas mengenai perancangan berhubung barisan pemain perseorangan lelaki yang dikendalikan Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann, beliau berkata gesaan telah disuarakan pihaknya supaya lebih ramai pemain berkaliber dapat dilahirkan.

"Chong Hann dan pasukan sedang berusaha melahirkan pemain perseorangan lelaki berkaliber secepat mungkin...kita hendak lebih ramai lagi pemain perseorangan lelaki supaya kita sentiasa dapat hantar pasukan hebat," katanya.

Mohamad Norza yang juga Presiden MOM memaklumkan bahawa mesyuarat Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) akan diadakan pada 11 hingga 13 Julai di Phnom Penh, Kemboja.

Senarai sukan yang bakal dipertandingkan dalam temasya Sukan SEA ke-32 Kemboja 2023 akan disahkan menerusi mesyuarat berkenaan, katanya.

-- BERNAMA