Pencapaian atlet negara pada Sukan SEA Singapura dari 6 hingga 16 Jun depan, menjadi penanda aras pertama untuk dipilih ke Program Podium, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Program Podium diumum pada 12 Feb lepas melibatkan atlet terbaik negara, adalah program pembangunan dan persediaan atlet untuk menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, dan merupakan program lanjutan kepada projek 'Road to Rio'.

"Sukan SEA platform terbaik kepada atlet khususnya atlet pelapis mempamerkan prestasi terbaik masing-masing di peringkat Asia Tenggara. Adalah menjadi kriteria asas, mereka mestilah menjadi terbaik di rantau ini dalam sukan masing-masing.

"(Malah) atlet yang akan diserapkan dalam Program Podium juga tidak terhad kepada mereka yang akan ke Sukan SEA sahaja," katanya kepada pemberita selepas melancarkan web portal dan buku panduan Sukan SEA 2015 di Institut Sukan Negara (ISN), di sini pada Rabu.

Web portal berkenaan hanya boleh dilayari oleh Sekretariat Kontinjen Malaysia, pengurus pasukan, jurulatih dan atlet, manakala buku panduan itu pula mengandungi maklumat ringkas berkaitan perkhidmatan sains sukan dan sains perubatan yang disediakan ISN semasa Sukan SEA berlangsung.

Khairy, bagaimanapun menegaskan bahawa kejayaan di temasya sukan dwitahunan itu bukanlah penanda aras mutlak untuk seseorang atlet diserap ke Program Podium.

"Kita kena ambil keputusan tersebut (keputusan yang diperoleh semasa Sukan SEA) dan bandingkan dengan keputusan di peringkat Sukan Asia dan Sukan Komanwel," katanya.

Khairy berkata sekiranya catatan masa atau jarak yang direkodkan tidak setanding dengan kedudukan sekurang-kurangnya tempat ketiga di Sukan Asia atau Sukan Komanwel, atlet terbabit tidak akan diserap dalam Program Podium.

"Ia akan menjadi insentif kepada atlet itu sendiri sekiranya prestasi mereka amat baik sekali di Sukan SEA dengan memecahkan rekod kebangsaan dan dapat menandingi kedudukan tempat ketiga Asia," kata Khairy.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Khairy sekali lagi memberi penekanan kepada semua atlet yang akan membawa cabaran negara ke Sukan SEA mengenai penggunaan bahan terlarang dalam sukan.

"Tahun lepas sahaja, kita dikejutkan dengan tiga kes berprofil tinggi...satunya melibatkan pingat emas kita ditarik balik...satu lagi melibatkan pemain bertaraf nombor satu dunia...satu lagi melibatkan atlet muda berbasikal.

"Kita sanggup mengeluarkan peruntukan untuk ujian doping kepada atlet kita agar tidak dimalukan sekali lagi. Jangan ambil mudah isu doping. Jangan kata ini kes kecil. Kita tidak akan bertolak ansur dalam doping," katanya.

Khairy berkata penekanan ujian saringan awal akan diberikan kepada atlet dalam acara individu, manakala atlet berpasukan akan dilakukan secara rawak.

Ujian saringan awal terhadap atlet akan diadakan secara berperingkat sebelum atlet berangkat ke Singapura.