HANOI: Kontinjen negara menambah koleksi tiga pingat emas pada hari kelapan Sukan SEA ke-31, masing-masing dalam acara bina badan, gimnastik dan golf, pada Ahad.

Namun, pencapaian itu gagal memperbaiki kedudukan kontinjen negara sebaliknya kem Malaysia terpaksa turun satu anak tangga ke kedudukan kelima keseluruhan.

Pada saingan semalam, seperti disasarkan juara dunia kategori "Athletics Physique" empat kali berturut-turut sejak 2016, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah yang lebih mesra disapa Mike, menepati ramalan apabila merangkul pingat emas acara "Athletics Physique" Lelaki.

Kem bina badan negara juga meraih satu pingat gangsa menerusi Walvern Abdullah-Kok Gong Tai dalam kategori Pasangan Campuran pada hari terakhir acara berkenaan dipertandingkan pada temasya kali ini.

Di Heron Lake Golf Course Resort, pemain golf Ervin Chang mencipta sejarah muncul pemain Malaysia pertama meraih gelaran individu pada temasya Sukan SEA selepas menewaskan Amadeus Susanto Christian dari Indonesia dalam persaingan penuh dramatik sehingga ke aksi “playoff”. 

Jeneath Wong turut menceriakan skuad golf negara apabila meraih gangsa dalam acara individu wanita.

Di Pusat Gimnasium Quan Ngua, lagu kebangsaan Negaraku berkumandang setelah gimnas artistik wanita negara, Rachel Yeoh Li Wen menghadiahkan Malaysia pingat emas dalam acara palang bertingkat.

Selain itu, skuad gimnastik kebangsaan turut menampilkan aksi membanggakan apabila dua gimnas lelaki Tan Fu Jie dan Muhammad Sharul Aimy masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dalam acara kekuda berpelana.

Sementara itu, skuad sepak takraw lelaki negara berjaya mengawal tekanan beraksi di hadapan penonton tuan rumah untuk menewaskan Vietnam bagi membawa pulang pingat perak acara regu berpasukan.

Pencapaian itu sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Abdul Talib Ahmad mempertahankan pingat perak yang dimenangi pada edisi 2019 di Filipina.

Acara petanque turut memberi kelegaan kepada kontinjen Malaysia selepas beberapa acara disasarkan membawa pulang pingat gagal dalam misi mereka di Hanoi.

Gandingan Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali dan Nurashimah Senin berjaya merangkul pingat perak acara doubles wanita selepas tumpas kepada pasangan tuan rumah Hong Thoa Thai Thi-Lan Anh Tran Le.

Atlet sukan lasak negara Tahira Najmunisaa Muhammad turut tersenarai sebagai penyumbang pingat pada penampilan sulungnya di pentas Sukan SEA apabila meraih perak acara duathlon elit wanita.

Dalam pada itu, atlet para Muhammad Ziyad Zolkefli menjadi penyelamat kem olahraga negara apabila berjaya menghadiahkan satu-satunya pingat iaitu gangsa pada hari kedua acara trek dan padang berlangsung di Stadium Nasional My Dinh.

Skuad wushu negara juga menamatkan cabaran pada Sukan SEA ke-31 dengan meraih sebutir pingat gangsa pada hari terakhir acara berkenaan dipertandingkan menerus Yeap Wai Kin dalam acara Gunshu Lelaki.

Pencapaian meraih tiga pingat emas, empat perak dan empat gangsa menyaksikan kontinjen negara turun satu tangga ke kedudukan kelima dengan pungutan keseluruhan 16 emas, 12 perak dan 30 gangsa.

Tuan rumah masih mendahului carta kedudukan dengan pungutan 66 emas, 46 perak dan 41 gangsa, diikuti Thailand 24-24-42, Filipina 20-27-37 dan Indonesia 19-27-20.

Malaysia berpeluang menambah koleksi pingat emas apabila empat wakil negara termasuk juara dunia empat kali, Siti Rahmah Mohamed Nasir akan bertarung di pentas final dalam acara pencak silat tanding, hari ini.

Beberapa acara akan membuka tirai hari ini, antaranya menembak, tenpin boling, badminton, taekwondo dan tinju.

-- BERNAMA