Sukan SEA: Malaysia hanya perlu lapan pingat lagi untuk capai sasaran

BANGKOK: Kontinjen Malaysia kini hanya memerlukan lapan pingat lagi untuk mencapai sasaran keseluruhan 200 pingat tanpa mengira warna pada Sukan SEA Thailand 2025.
Ringkasan AI
- Kontinjen Malaysia cuma perlukan lapan pingat lagi untuk capai sasaran 200 pingat di Sukan SEA Thailand 2025.
- Atlet negara bersedia beraksi dalam beberapa acara final termasuk memanah, terjun, menembak, dan berbasikal untuk dapatkan pingat emas.
- Prestasi cemerlang kem Malaysia semalam dengan pencapaian emas dalam pelbagai sukan seperti pencak silat, Muay Thai, skuasy, kriket, dan e-sukan.
Selain itu, sukan seperti terjun, menembak dan acara berbasikal trek turut berpeluang menghadirkan kilauan pingat emas sekali gus mampu mengurangkan jurang pungutan pingat dalam carta kedudukan.
Tumpuan hari ini juga terarah kepada perlawanan penentuan gangsa bola sepak, menyaksikan skuad Harimau Muda akan membuat perhitungan menentang Filipina di Stadium Nasional Rajamangala.
Kali terakhir skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara menaiki podium adalah ketika memenangi perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, kem Malaysia meneruskan prestasi cemerlang semalam dengan beberapa acara utama menyumbang emas termasuk pencak silat, Muay Thai, skuasy, kriket, menembak, bola jaring dan e-sukan.
Pencak silat menyumbang dua pingat emas menerusi kategori Kelas C wanita dan Kelas D lelaki apabila Ummi Mashitah Hassan dan Muhammad Izzul Irfan masing-masing mengungguli saingan final.
Dalam sukan Muay Thai, Malaysia terus menunjukkan dominasi apabila Angie Yan Jia Chi meraih emas acara individu Waikru wanita dengan menewaskan juara dunia dari Thailand Thanawan Thongduang.
Dua lagi emas sukan itu disumbangkan Wassof Rumijam dalam kategori 54 kilogram (kg) lelaki dan Mohd Mikail Ghazali Zulfikar (lelaki bawah 57kg) dengan masing-masing menewaskan lawan tuan rumah.
Skuad kriket lelaki negara pula mengesahkan pingat emas acara T10 selepas menewaskan Indonesia dalam aksi terakhir liga sepusingan.
Acara skuasy menyaksikan gandingan Harith Danial Jefri-Sehveetraa Kumar menjuarai acara beregu campuran jumbo sebelum Harith Danial sekali lagi mencipta kejayaan apabila bergandingan dengan Low Wa Sern untuk meraih emas acara beregu lelaki jumbo.
Dalam saingan e-sukan, pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita negara menyumbang emas selepas menewaskan Filipina 4-3 dalam aksi final yang berlangsung sengit.
Kejayaan semalam dilengkapkan dengan emas penembak negara Gan Chen Jie dalam acara 50 meter tiga posisi wanita dan skuad bola jaring wanita negara yang muncul juara selepas menewaskan Singapura 52-49 pada perlawanan akhir.
Setakat 10 malam waktu tempatan, Thailand terus kukuh di persada pungutan pingat dengan 185 emas, 120 perak dan 79 gangsa, diikuti Indonesia kedua (72, 85, 94), Vietnam ketiga (64, 68, 94) dan Singapura keempat (46, 42, 63).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


