Sukan SEA: Pungutan pingat emas belum seiring jumlah atlet, satu isyarat amaran – Pakar

Faithal berpendapat Dr Taufiq perlu memperkukuh kerjasama dengan semua badan sukan bagi merangka hala tuju pembangunan atlet negara. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Pungutan pingat emas negara yang masih belum seiring dengan jumlah atlet dan kepelbagaian acara dilihat sebagai isyarat amaran kepada pembangunan sukan negara.
Ringkasan AI
- Pungutan pingat emas Malaysia pada Sukan SEA masih tidak seiring dengan jumlah atlet dan kepelbagaian acara, memberi amaran terhadap pembangunan sukan negara.
- Pensyarah Fakulti Sains dan Latihan Sukan UM, Dr Mohamad Faithal Hassan, menyarankan perluasan perhatian terhadap penyertaan 1,142 atlet Malaysia pada Sukan SEA 2025 di Thailand.
- Dr Faithal menekankan keperluan kerjasama Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, dengan badan sukan untuk merangka hala tuju pembangunan atlet negara, khususnya menjelang Sukan SEA 2027 dan Olimpik 2028.
“Ini merupakan satu bentuk boleh dikatakan sebagai ‘alarm’ kepada kita, supaya dengan bilangan atlet yang begitu ramai, sukan yang begitu banyak, kita masih kurang mampu meningkatkan pungutan pingat emas kita,” katanya semasa wawancara pada segmen Fokus Minggu Depan, hari ini.
Pada Sukan SEA 2025, Malaysia menduduki tempat keempat dengan 57 emas, 57 perak, dan 117 gangsa.
Sementara itu, pada Sukan SEA 2017, 844 atlet kontinjen Malaysia mencatat sejarah sebagai juara keseluruhan buat kali kedua dengan 145 pingat emas, melebihi sasaran 111 pingat emas.
Faithal turut berpandangan Menteri Belia dan Sukan yang baharu dilantik, Dr Mohammed Taufiq Johari, perlu memperkukuh kerjasama dengan semua badan sukan bagi merangka hala tuju pembangunan atlet negara.
Beliau menekankan perkara itu penting khususnya dalam persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 dan Sukan Olimpik 2028.
“Menteri harus mendapatkan maklumat yang lebih baik daripada persatuan-persatuan sukan dan juga Majlis Sukan Negara (MSN) dalam merangka program,” katanya.
Tambahnya, antara perkara yang wajar ditumpukan ialah penyediaan barisan pakar oleh Institut Sukan Negara, khususnya pakar psikologi, bagi membantu atlet menghadapi tekanan dalam sukan berprestasi tinggi.
“Kita perlu memanfaatkan kepakaran psikologi serta segala kelebihan sukan untuk memastikan atlet dapat menunjukkan prestasi terbaik dalam pertandingan akan datang,” katanya lagi.
Dr Taufiq mengambil alih jawatan Menteri Belia dan Sukan daripada Hannah Yeoh pada rombakan kabinet 16 Disember lalu, menjelang persiapan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


