SUKMA 2026: Perlis tawar insentif RM10,000 jika sasaran 20 pingat emas tercapai

Mohd Shukri membentangkan Belanjawan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis (Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Perlis ke-15) di Kompleks Seri Putra hari ini. - Gambar Bernama
KANGAR: Kerajaan Perlis menawarkan insentif RM10,000 kepada pemenang acara individu jika sasaran 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berjaya dicapai.
Ringkasan AI
- Kerajaan Perlis menawarkan insentif RM10,000 kepada pemenang acara individu jika sasaran 20 pingat emas pada SUKMA 2026 tercapai sebagai galakan kepada atlet dan jurulatih.
- Sasaran tersebut merupakan fokus program sukan negeri tahun hadapan yang penting bagi memastikan Pelan Pembangunan Sukan Negeri Perlis 2022-2026 terlaksana melalui Projek 8:20.
- Menteri Besar Mohd Shukri Ramli yakin sasaran 20 pingat emas boleh dicapai dengan sokongan program pembangunan bersepadu yang digariskan, manakala SUKMA 2026 akan berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos.
"Walaupun sasaran 20 pingat emas sesuatu yang mencabar (namun) kerajaan negeri yakin ia boleh dijayakan dengan sokongan program pembangunan bersepadu digariskan di bawah Projek 8:20," katanya.
Mohd Shukri berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2026 yang bertemakan "Perlisku Bestari Rakyat Sejahtera" pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.
Beliau berkata kira-kira 40 atlet prospek emas akan diberi tumpuan khusus dari sudut kebajikan, program latihan serta penyertaan kejohanan dalam dan luar negara.
SUKMA 2026 akan berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos.
Sementara itu, Mohd Shukri berkata Persatuan Woodball Negeri Perlis akan menjadi penganjur bersama Kejohanan Woodball Piala Dunia ke-10 melibatkan 20 negara dari 25 hingga 31 Julai 2026.
"Melalui kejohanan bertaraf dunia ini, Perlis berupaya memperkukuh kedudukan sebagai pusat pembangunan sukan woodball negara seterusnya membawa nama negeri ke persada antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


