KUALA LUMPUR: Selangor memulakan kempen bola sepak temasya Sukan Malaysia (Sukma) MSN ke-20 dengan langkah kanan apabila berjaya membenam juara bertahan Perak 2-0 di Arena Universiti Malaya di sini, semalam.

Turun selaku juara dua kali, Selangor membuka kempen Kumpulan A dengan jaringan sulung daripada Mohd Khairil Mohd Zain pada minit ke-21.

Bersambung babak kedua, skuad Gergasi Merah menggandakan jaringan pada minit ke-79 menerusi Pengiran Mohamad Ilham AG Jumaat yang melengkapkan sepakan leret rakan sepasukan, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim.

Jurulatih Selangor, Muhammad Firdaus Aziz, yang berpuas hati dengan aksi yang dipersembahkan anak buahnya, menyasarkan untuk memburu kemenangan pada perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan, Rabu ini.

"Sebelum ini kita tak jumpa Perak langsung, susah untuk jangka bagaimana corak permainan mereka, tapi anak buah saya dapat memahami cara mereka bermain dan kalahkan mereka. Kita wajib menang perlawanan kedua selepas ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Sementara itu, jurulatih Perak, Mohd Shahril Nizam Khalil, yang kecewa dengan kekalahan pasukannya, berkata, anak buahnya perlu memperkuatkan bahagian pertahanan dalam usaha menggenggam kemenangan menentang skuad Kuala Lumpur, Rabu ini.

Perak melengkapkan hatrik pingat emas acara bola sepak apabila menewaskan Kedah 2-1 pada final edisi 2018 di Ipoh.

Satu lagi aksi kumpulan sama menyaksikan Wilayah Persekutuan mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan, hasil jaringan tunggal Suhaimi Abu pada minit ke-48.

Pada saingan Kumpulan B, Sarawak menewaskan Melaka 2-1.

Sarawak mendahului menerusi jaringan Mohamad Zharmien Ashraf Ismail seawal minit pertama dan Ikhawan Firdaus Mohd Zaidi pada minit ke-29, manakala Melaka merapatkan jurang melalui Muhammad Luqmanul Hakeem Norizam pada minit ke-74.

-- BERNAMA