Misi Sunderland untuk mengelak penyingkiran hampir tercapai selepas menang tipis 1-0 ke atas Everton pada acara bola sepak Liga Perdana Inggeris Barclays (BPL).

Kemenangan itu memberikan skuad kendalian Paolo Di Canio itu 37 mata daripada 34 perlawanan.

Menerima kunjungan Everton di Stadium Of Light, Sunderland mempamer corak terbuka.

Kedua-dua pasukan mempunyai peluang jaringan tetapi dihampakan dengan ketumpulan penyudah.

Stephane Sessegnon kemudian menceriakan penyokong tempatan apabila meletakkan Sunderland di depan pada penghujung babak pertama.

Pasukan bimbingan David Moyes itu kerap kali mengancam ke kubu Sunderland namun gagal mendapatkan jaringan.

Sunderland pula terus kental bertahan, memberikan Di Canio kemenangan kedua berturut-turut sejak mengambil alih kelab tersebut.