PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) kini dalam pertimbangan untuk memanggil semula semula dua tekong emas, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak, untuk memperkuatkan skuad kebangsaan menjelang Sukan SEA Vietnam hujung tahun ini.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka perlu melepasi beberapa ujian dalam sesi pemilihan bagi membuktikan kredibiliti sebelum mendapatkan semula kedudukan sebagai tekong utama.

Syahir tampil sebagai tekong yang digeruni bersama Kuala Lumpur Thunder dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2020.

Ia menarik perhatian PSM untuk memanggilnya menjalani sesi pemilihan skuad kebangsaan, termasuk Zulkifli, biarpun pemain Terengganu itu tidak beraksi sepanjang STL musim ini.

Syahir dan Zulkifli merupakan tonggak negara ketika memenangi pingat emas Sukan Asia Indonesia pada 2018.

Bagaimanapun, dua tahun lalu, mereka digantung oleh PSM kerana masalah disiplin dan tidak dapat beraksi dalam Sukan SEA Filipina 2019.

Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail, berkata: "Pada dasarnya, Jawatankuasa Pembangunan Atlet dan Urusan PSM telah bersetuju tetapi masih ada satu ujian yang akan diadakan pada 8 hingga 10 April ini, di mana kami akan memberikannya regu yang kuat dan menilai prestasinya.

"Kalau dilihat prestasinya (Syahir) dalam final STL memang amat bagus. Kami sudah berbincang semalam dan membuat keputusan bahawa dia akan dipanggil untuk menjalani ujian dengan kesemua pemain kebangsaan dalam satu pertandingan secara simulasi.

"Dalam enam regu yang dijemput, memang nama Sobey (Zulkifli) ada dalam senarai untuk memberikan saingan sekiranya dia bersetuju," katanya.