Tadbir urus persatuan lemah, KAFA diminta adakan semula kongres

Zamakhshari berkata penggantungan KAFA disebabkan pertikaian status kehadiran beberapa ahli gabungan yang tidak diiktiraf oleh persatuan itu sendiri. - Gambar fail/Astro AWANI
KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diminta segera mengadakan semula kongres tahunan bagi menyelesaikan isu penggantungan persatuan itu daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), susulan kelemahan tadbir urus yang menjejaskan bola sepak negeri.
Ringkasan AI
- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diminta segera mengadakan semula kongres tahunan bagi menyelesaikan isu penggantungan persatuan itu daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disebabkan kelemahan tadbir urus yang menjejaskan bola sepak negeri.
- Penggantungan KAFA berpunca daripada pertikaian status kehadiran beberapa ahli gabungan yang tidak diiktiraf oleh persatuan itu sendiri, dengan FAM mengarahkan KAFA untuk mengadakan semula kongres tahunan.
- Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM2.3 juta setahun untuk pembangunan bola sepak termasuk penganjuran Liga Elit Dewan Undangan Negeri (LED) dan Piala Menteri Besar, dengan sokongan semua pihak penting bagi memastikan bola sepak Kelantan kembali gemilang.
"Isu ini harus diselesaikan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan supaya pembangunan bola sepak negeri tidak terjejas," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Zamakhshari menegaskan kerajaan negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan KAFA, Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan FAM bagi mencari penyelesaian, namun secara undang-undang kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa campur tangan kerana KAFA adalah badan berdaftar di bawah PJS dan gabungan FAM.
"Isu ini penting kerana peraturan PJS tidak membenarkan penubuhan persatuan bola sepak kedua selagi KAFA masih wujud. Hanya jika pendaftaran KAFA dibatalkan barulah persatuan baharu dibenarkan," katanya.
Pada Disember tahun lepas, FAM menggantung keahlian KAFA kerana kesalahan tatacara pengendalian kongres, selaras dengan Artikel 17 Statut FAM yang membolehkan jawatankuasa eksekutif FAM menggantung keahlian mana-mana ahli akibat pengurusan kongres yang tidak teratur atau melanggar prosedur.
Beliau menambah kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM2.3 juta setahun untuk pembangunan bola sepak, termasuk penganjuran Liga Elit Dewan Undangan Negeri (LED), Piala Menteri Besar, pembangunan padang dan sumbangan kepada kelab persendirian yang diiktiraf.
"LED menjadi platform anak muda menunjukkan bakat kepada pencari bakat kelab profesional Liga Malaysia.
"Kos menyediakan pasukan kompetitif Liga-M sangat tinggi, sekurang-kurangnya RM12 juta setahun.
"Sokongan semua pihak penting untuk memastikan bola sepak Kelantan kembali gemilang dan KAFA perlu segera menyelesaikan isu ini untuk pembangunan masa depan sukan negeri," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


